Jumaat, 26 April 2019 | 1:09pm
TUN Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada majlis pembukaan Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa Kedua yang berlangsung hari ini dan esok di Pusat Konvensyen Kebangsaan China. - Foto BERNAMA

Malaysia sokong inisiatif Jalur dan Laluan - PM

BEIJING: Malaysia menyokong penuh inisiatif Jalur dan Laluan kerana negara akan memperoleh manfaat daripada projek infrastruktur besar-besaran yang akan dilaksanakan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini hari ini.

Bercakap pada mesyuarat peringkat tinggi Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa di Pusat Persidangan Kebangsaan China, pemimpin berusia 94 tahun itu berkata, inisiatif Jalur dan Laluan adalah satu idea yang hebat.

“Saya menyokong sepenuhnya inisiatif Jalur dan Laluan. Saya yakin negara saya, Malaysia akan mendapat manfaat daripada projek itu,” kata beliau dalam ucapannya.

Perdana Menteri yang tiba di sini tiga hari lepas untuk lawatan kerja lima hari ke China, ialah antara beberapa pemimpin yang diberi peluang untuk berucap pada forum itu.

Presiden China Xi Jinping yang mencetuskan idea mengenai inisiatif Jalur dan Laluan itu, merasmikan forum itu yang dihadiri oleh 37 pemimpin dunia dan 5,000 perwakilan dari 150 negara dari serata pelosok dunia.

Jinping mencetuskan cadangan dasar infrastruktur itu, enam tahun lalu, bagi tujuan menghidupkan semula Laluan Sutera yang pada zaman dahulu menghubungkan Asia dengan bahagian lain dunia, menerusi pembinaan landasan kereta api, lapangan terbang, saluran paip dan lain-lain cara.

Dr Mahathir yang menyifatkan mesyuarat itu sebagai ‘forum yang penting’, juga menggesa jalan penghubung di sepanjang Jalur dan Laluan berkenaan dilindungi, terbuka dan bebas untuk semua.

“Elemen penting ialah kebebasan di sepanjang laluan ini. Jalan penghubung ini hanya bermanfaat sekiranya ia turut menawarkan kebebasan. Kedua-dua laluan laut dan darat akan melalui banyak negara.

“Kerumitan birokrasi akan memperlahankan kelajuan perjalanan. Oleh itu, adalah penting bagi semua laluan ini bebas dan terbuka kepada semua,” katanya.

Beliau berkata, selain terbuka dan bebas untuk semua, jalan penghubung itu mestilah selamat seperti “keganasan dan peperangan akan membuat keajaiban moden ini tidak mampu menawarkan manfaat seperti yang mereka dijanjikan”.

Dr Mahathir yang berada di sini bersama beberapa menteri Kabinet juga menyatakan bahawa dunia mendakwa bertamadun tetapi “orang-orang yang bertamadun ini memilih untuk membunuh satu sama lain bagi menyelesaikan masalah”.

Keupayaan mereka untuk memusnahkan, beliau berkata, jauh lebih hebat daripada kemampuan mereka untuk membina.

“Adalah penting dunia menjadi kurang primitif dan menolak penggunaan kekerasan dan pembunuhan beramai-ramai untuk mendapat manfaat daripada pembukaan laluan baharu bagi perdagangan dan pengangkutan yang dijanjikan dalam inisiatif Jalur dan Laluan,” katanya.

Dalam ucapan yang disampaikan sebelum pemimpin dunia dan tokoh penting lain, Dr Mahathir juga berkata, teknologi moden dapat meningkatkan laluan antara timur dan barat.

Beliau turut mengajukan pertanyaan sama ada kereta api boleh dibina lebih besar untuk membawa lebih lebih banyak barangan, bahan mentah dan penumpang.

Laluan darat, beliau berkata, harus respons terhadap keperluan peningkatan perdagangan antara Timur dan Barat.

Dr Mahathir berkata, perjalanan kereta api boleh memendekkan laluan antara Timur dan Barat kerana ia lebih pantas berbanding kapal.

Perdana Menteri berkata, apabila jumlah perdagangan meningkat dan memperkayakan rakan perdagangan, namun ia juga meningkatkan ancaman kepada negara pesisir akibat tumpahan minyak dan pembuangan sisa di laut, yang akan mengakibatkan pencemaran lautan.

Beliau berkata, negara pesisir tidak dapat mengutip tol untuk membiayai kerja pembersihan kerana ia berlaku di perairan antarabangsa.

“Mereka (negara pesisir) yang akan menerima kesan pencemaran dan mereka perlu mengekalkan angkatan yang besar untuk membersihkan laut dan pantai mereka.

“Adalah tidak adil bagi negara pesisir yang miskin harus dibebani dengan tanggungjawab ini,” katanya merujuk kepada kejadian tumpahan minyak dan pencemaran di Selat Melaka. – BERNAMA

3711 dibaca
Berita Harian X