Khamis, 25 April 2019 | 10:39am

Bekalan air pulih secara berperingkat mulai lewat hari ini

KUALA LUMPUR: Bekalan air dijangka kembali pulih secara berperingkat mulai lewat hari ini selepas kerja penambahbaikan penggantian komponen paip dan peralatan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), siap malam tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago, berkata ia bergantung kepada lokasi sebagaimana dijadualkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sebelum ini.

Beliau berkata, LRA SSP2 kini dalam tempoh pemulihan dan pengoperasian semula yang dijangka akan mengambil masa sekitar 24 jam.

Katanya, sepanjang tempoh henti tugas dan pengoperasian semula loji, SPAN memantau secara rapi daripada awal kerja dimulakan sehingga ke tempoh pemulihan.

“SPAN akan terus memantau secara rapat dengan kerjasama SYABAS bagi memastikan bekalan air akan kembali dinikmati pengguna berdasarkan jadual yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) siap 11 malam tadi. - Foto Air Selangor

Beliau berkata kerja penambahbaikan di LRA SSP2 yang bermula seawal jam 8 pagi semalam sudah siap dilaksanakan pada jam 11 malam tadi.

“Hal ini menepati tempoh masa yang dijangka oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd selaku operator dan SPAN selaku badan kawal selia perkhidmatan air ketika jadual pemulihan dirangka sebelum ini.

“SPAN merakamkan setinggi penghargaan atas komitmen tinggi ditunjukkan warga SYABAS serta SPAN yang memberi sepenuh kerjasama menjayakan kerja-kerja dan pemantauan penambahbaikan

LRA SSP2. Kesabaran pengguna adalah amat dihargai,” katanya.

Bermula pagi semalam, sepanjang tempoh 86 jam yang dijadualkan bagi penambahbaikan itu, gangguan bekalan air berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Berikutan itu, 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan terkesan.


KERJA penambahbaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) lancar. - Foto Air Selangor

Berita Harian X