Rabu, 24 April 2019 | 9:42pm
MAZSLEE Malik.

Kabinet kekalkan kuota sedia ada, tapi tambah bilangan pelajar kepada 40,000 orang

KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini bersetuju supaya jumlah pengambilan pelajar untuk memasuki Program Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun ini, ditingkatkan kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 pada tahun lalu.

Pada masa sama, Kabinet sebulat suara mengekalkan kuota kemasukan dengan 90 peratus untuk pelajar Bumiputera, manakala 10 peratus kepada bukan Bumiputera.

Susulan keputusan itu, jumlah pelajar Bumiputera yang berpeluang memasuki matrikulasi pada tahun ini, meningkat daripada 22,500 kepada 36,000 orang, manakala jumlah pelajar bukan Bumiputera meningkat daripada 2,500 kepada 4,000 orang.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata keputusan itu dibuat selepas isu kuota kemasukan ke Program Matrikulasi KPM dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan pelajar cemerlang terus mendapat peluang terbaik melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

“Kerajaan melihat wujud keperluan utama menambah bilangan pelajar dalam bidang sains dan kapasiti yang ada pada program matrikulasi wajar dimaksimumkan untuk tujuan ini.

“Keputusan ini juga dilihat sebagai kaedah terbaik memastikan program matrikulasi dapat memberikan peluang pendidikan kepada semua kaum,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, semalam.

Sebelum ini media melaporkan banyak pihak mendesak KPM segera menjelaskan jumlah pengambilan pelajar ke kolej matrikulasi berdasarkan kuota kaum bagi tahun 2019.

Maszlee berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan berkaitan kos berikutan peningkatan jumlah kemasukan pelajar terbabit dalam masa terdekat bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik.

“Jemaah Menteri meminta kementerian untuk menilai pendekatan strategik yang bersesuaian, termasuk menggunakan premis dan kepakaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi menampung pertambahan yang diputuskan ini,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataannya selepas bertemu dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Maszlee berkata, Sarawak bersetuju melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Beliau berkata, Sarawak menjadi negeri pertama melaksanakan pengajaran dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Inggeris seperti dikehendaki Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berita Harian X