Rabu, 24 April 2019 | 9:16pm
MOHD Azizee Hasan.

iGuru sokong keputusan kerajaan berhubung kuota matrikulasi

KUALA LUMPUR: Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) menyambut baik keputusan Kabinet mengekalkan dasar 90 peratus Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera serta pertambahan 15,000 tempat kemasukan ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan untuk tahun ini.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan, berkata langkah kerajaan itu bukan hanya mampu meningkatkan kapasiti jumlah pelajar dalam bidang sains, malah memberi peluang pendidikan untuk semua pelajar cemerlang dari pelbagai kaum khususnya dari kelompok golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Beliau berkata, iGuru berharap pihak kementerian juga mencari alternatif terbaik untuk menempatkan juga pelajar cemerlang dari kelompok isi rumah berpendapatan pertengahan (M40) dan B40 dengan mengambil kira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang ramai, untuk ditawarkan ke program matrikulasi.

“iGuru berharap pengekalan kuota dan penambahan bilangan pelajar ini dapat mengurangkan keciciran pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) di samping memastikan kolej T6 yang bertaraf pra universiti diperkasakan lagi.

“Kita juga berharap langkah ini membantu anak-anak Bumiputera dari kelompok terbanyak ini mendapat pendidikan yang baik dan berkualiti terutama dalam bidang sains serta dapat memenuhi keperluan pasaran kerja pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Mohd Azizee berkata demikian mengulas keputusan kabinet hari ini yang sebulat suara bersetuju untuk mengekalkan kuota 90 peratus untuk Bumiputera dan 10 peratus lagi untuk bukan Bumiputera bagi kemasukan ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan.

Berikutan itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata Kabinet juga bersetuju untuk menambah bilangan kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi kementeriannya kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 orang pada tahun sebelumnya.

Dr Maszlee berkata keputusan berkenaan dibuat selepas isu kuota kemasukan ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Berita Harian X