Rabu, 24 April 2019 | 5:50pm
ABDUL Raof Ahmad

Kerja penambahbaikan LRA SSP2 siap 70 peratus

SHAH ALAM: Kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) sudah siap 70 peratus sehingga jam 5 petang tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad, berkata pihaknya akan berusaha untuk menyiapkan kerja penambahbaikan itu secepat mungkin.

“Kerja berjalan bermula jam 9 pagi tadi dan ia mengikut jadual yang ditetapkan.

“Air Selangor akan cuba menyelesaikan perkara ini bagi memudahkan urusan orang ramai,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Raof berkata, pihaknya sudah menggerakkan sebilangan lori tangki bagi menghantar air ke kawasan kecemasan seperti hospital, klinik dan pusat dialisis bermula pagi tadi.

Katanya, memandangkan hari ini adalah permulaan bekalan air diputuskan, lori tangki tidak digerakkan dalam jumlah yang banyak.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan penghantaran air akan berlaku di banyak kawasan pada Jumaat ini kerana stok simpanan air pengguna mungkin sudah berkurangan.

“Bagaimanapun, Air Selangor dalam keadaan bersiap sedia sekiranya mendapat permintaan daripada orang awam,” katanya.

Semalam, Abdul Raof dalam kenyataan media berkata, Air Selangor menyediakan 99 lori tangki termasuk 17 lori tangki jumbo sepanjang tempoh gangguan bekalan air yang berlaku bermula hari ini hingga Sabtu.

Selain lori tangki, Air Selangor juga membuka 10 Pusat Khidmat Setempat (PKS) pada jam 8 pagi, Jumaat ini, yang menyediakan bekalan air kepada penduduk.

Air Selangor juga menempatkan 106 tangki statik di premis kritikal serta lokasi strategik selain penyediaan sembilan lokasi pili air awam dan menyediakan stesen pengisian air khusus bagi pembelian air untuk pelanggan industri.

Sepanjang tempoh 86 jam yang dijadualkan bagi kerja penambahbaikan itu, gangguan bekalan air berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Susulan itu, sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terkesan.

3349 dibaca
Berita Harian X