Rabu, 24 April 2019 | 9:08am
MENTERI Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berucap pada majlis perasmian Hentian Bas Marang, malam tadi. - Foto Imran Makhzan

ECRL: Tidak pinggir penduduk tempatan - MB Terengganu

MARANG: Kerajaan negeri memberi jaminan tidak akan meminggirkan penduduk tempatan terutama golongan belia untuk mendapat peluang pekerjaan dalam pembangunan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata syarikat yang akan mengendalikan projek ECRL di Terengganu bersetuju tidak menggunakan tenaga kerja asing, sebaliknya memberi peluang sepenuhnya kepada pekerja tempatan.

Beliau berkata, hasil perbincangan antara kerajaan negeri dan China Communication Construction Company Ltd (CCCC), pembabitan pekerja asing dalam pembangunan projek itu hanya dalam keperluan tertentu, seperti tenaga mahir dalam pengendalian landasan dari China.

“CCCC juga akan mengasingkan tempat tinggal pekerja pakar dan mahir dari negara mereka bagi mengelak wujudnya isu sosial,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hentian Bas Marang, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Dr Ahmad Samsuri berkata, CCCC sudah mengenal pasti kediaman untuk menempatkan tenaga pakar dan pekerja mahir dari China.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menubuhkan jawatankuasa bersama dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd dalam melaksanakan projek ECRL.

“Jawatankuasa bersama bakal ditubuhkan itu akan berbincang pelbagai isu termasuk tanggungjawab kerajaan negeri bagi melancarkan projek ECRL di negeri ini,” katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan dalam rundingan dengan China memuktamadkan projek ECRL diteruskan dengan kos pembinaan RM44 bilion, berkurangan sebanyak RM21.5 bilion atau 32.8 peratus daripada kos asal iaitu RM65.5 bilion.

Menerusi perjanjian lebih baik itu, pembinaannya akan menelan kos RM68.7 juta per kilometer (km) berbanding RM95.5 juta per km mengikut perjanjian asal.

Jajaran baharu itu akan melalui 20 stesen dari Kota Bahru ke Kuala Terengganu, Kuantan, Mentakab dan melalui Jelebu, Bangi/Kajang, Putrajaya Sentral dan ke Pelabuhan Klang.

290 dibaca
Berita Harian X