Selasa, 23 April 2019 | 5:24pm
TENGKU Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra bersama Cik Sofie Louise Johansson berkenan berangkat ke kediaman Hakim Danial Razali, pesakit kronik mengalami ketumbuhan dalam kepala di Kampung Bechah Tembelang, Wakaf Bharu, Tumpat. Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. - Foto Ihsan Pejabat Istana Kelantan

Tengku Mahkota dan isteri ziarah pesakit kanser otak

TUMPAT: Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra menziarahi remaja yang menghidap penyakit kanser otak di Kampung Bechah Temalang, Wakaf Bharu, hari ini.

Baginda ditemani isteri, Cik Sofie Louise Johansson melawat Hakim Danial Razali, 17, iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu sebaik tiba pada kira-kira jam 10.15 pagi.

Lawatan berkenaan adalah yang pertama bagi pasangan Diraja itu selepas mereka melangsungkan perkahwinan pada Jumaat lalu.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Ibu kepada Hakim Danial, Zainab Awang, 65, meluahkan rasa terharu atas kunjungan Tengku Mahkota dan isteri bagi melihat anaknya.

Katanya, anak bongsu daripada 12 beradik itu menghidap penyakit berkenaan sejak tiga tahun lalu dan perlu menjalani kemoterapi sebanyak 30 kali.

“Insya-Allah Mei ini anak saya akan mula menjalani kemoterapi. Syukur alhamdulillah ramai pihak yang prihatin nasib anak saya termasuk Tengku Mahkota.

“Semasa Tengku Mahkota hadir, baginda bertanyakan apa yang saya perlukan untuk anak dan saya memaklumkan mahu kos rawatan Hakim Danial ditanggung sepanjang hayat kerana kami tidak berkemampuan.

“Kami memerlukan RM50,000 untuk rawatan Hakim Danial dan saya meminta semua mendoakan supaya anak saya kembali pulih,” katanya.

915 dibaca
Berita Harian X