Selasa, 23 April 2019 | 5:02pm
Taman Rimba Kiara di Taman Tun Dr Ismail. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Tiada pencerobohan tanah, pemindahan di TRK

KUALA LUMPUR: Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menjelaskan tiada pencerobohan ke atas tanah Taman Rimba Kiara (TRK) berhubung cadangan pengecilan pembangunan dari 4.9 hektar kepada 3.2 hektar di kawasan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun, berkata baki 1.61 hektar tanah yang akan dipulangkan itu boleh dirizabkan menjadi kawasan lapang dan bersambung dengan tapak seluas 5.2 hektar yang sedia ada di sebelahnya.

"Ini bermakna sejumlah 17 ekar (6.8 hektar) kawasan TRK masih tidak diceroboh oleh sesiapa. Oleh itu, orang ramai akan dapat terus menikmati kehijauan alam semulajadi.

"Pembangunan ini tidak menceroboh taman rekreasi besar, trek jogging dan kolam yang sedia ada, manakala kuil Sri Maha Mariamman, akan dikekalkan seperti sediakala di tanah seluas 0.3 ekar (0.12 hektar)," katanya.

Beliau berkata, pemaju juga sudah memperuntukkan tanah tambahan sebanyak 0.15 hektar, menjadikannya lebih luas berjumlah 0.28 hektar untuk manfaat penganut kuil terbabit.

Projek pembangunan TRK sebelum ini mencetuskan kritikan penduduk setempat selepas didakwa menceroboh tanah TRK, selain pelan pembangunan yang dibuat pemaju sebelum ini bertentangan dengan pelan asal dipersetujui penduduk.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad semalam memaklumkan persetujuan dicapai dengan pemaju untuk mengecilkan skop pembangunan di kawasan itu, namun ada pemimpin setempat yang mahu projek berkenaan dibatalkan.

Zaizalnizam berkata, perumahan mampu milik iaitu Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) di Bukit Kiara juga akan terus dibina, berdasarkan sistem subsidi silang dibiayai pemaju.

Beliau menjelaskan, penduduk rumah panjang Bukit Kiara tidak pernah diminta untuk berpindah atau keluar dari rumah panjang mereka ketika berlangsungnya pembinaan rumah mampu milik RUMAWIP.

"Ia sangat tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada YWP, apabila orang awam dihasut dengan kenyataan yang mengelirukan bahawa YWP akan memindahkan mereka ke tempat lain," katanya.

Zaizalnizam menjelaskan, dakwaan rumah yang akan dibina untuk penduduk rumah panjang ialah unit bersaiz kecil adalah tidak tepat, sebaliknya cadangan pembinaan RUMAWIP, adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan.

"Dasar 'mampu milik' menyatakan bahawa setiap penduduk Wilayah Persekutuan, mesti mendapatkan saiz unit minimum 850 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik mandi, sekali gus memastikan kehidupan masyarakat yang mampan," katanya.

YWP juga kata beliau, akan terus berkomunikasi dengan mereka yang mewakili hak dan keperluan penduduk rumah panjang Bukit Kiara.

"Di bawah Perjanjian Penempatan Semula (MRA), generasi pertama dari setiap keluarga yang juga ‘pemilik sah’ ini, akan diberi satu unit pangsapuri secara percuma, sementara generasi kedua yang namanya dicalonkan generasi pertama, boleh membeli 100 unit pangsapuri yang diperuntukkan pada harga diskaun 50 peratus," katanya.

Atas budi bicara juga, Zaizalnizam berkata, pemaju sudah menyumbang RM700,000 untuk membantu kerja pembaikan keseluruhan rumah panjang yang semakin usang, sementara menunggu siapnya pembinaan RUMAWIP.

"Sebahagian daripada kerja pembaikan yang sudah dijalankan termasuk paip air, penyumbatan pembetungan dan tangki septik," katanya.

Berita Harian X