Selasa, 23 April 2019 | 7:00am
Dr Mahathir dijadual mengadakan pertemuan dua hala secara berasingan dengan tiga kepemimpinan tertinggi China ketika menghadiri forum Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di Beijing, Khamis ini. - Foto BERNAMA

Dr Mahathir terima 'layanan khas' dari Beijing

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual mengadakan pertemuan dua hala secara berasingan dengan tiga kepemimpinan tertinggi China ketika menghadiri forum Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di Beijing, Khamis ini.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata layanan istimewa diberikan kepada Perdana Menteri oleh kepemimpinan republik berkenaan adalah petanda baik mengenai fasa baharu hubungan Beijing-Kuala Lumpur.

“Kita sudah selesaikan isu penting antara Beijing-Kuala Lumpur iaitu berkaitan Bandar Malaysia dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sekali gus mencetuskan arus perubahan positif hubungan kedua-dua negara, selain maklum balas dalam kalangan orang ramai menunjukkan suasana sektor perniagaan, khususnya membabitkan pelabur China, kini tampak lebih baik.

“Oleh itu, apabila tiga kepemimpinan tertinggi China meluangkan masa untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan Dr Mahathir, di tengah kesibukan Beijing selaku tuan rumah menguruskan perjalanan forum BRI, sudah pastinya suatu petanda baik.


Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

“Bayangkan, dalam kalangan lebih 40 pemimpin dunia yang menghadiri forum BRI, tiga kepemimpinan tertinggi China berhasrat untuk bertemu dengan Dr Mahathir,” katanya pada sidang media di Wisma Putra, di sini, semalam.

‘Trio’ pemimpin republik berkenaan yang dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Dr Mahathir ialah Presiden China, Xi Jinping; Perdana Menteri China, Li Keqiang dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Li Zhanshu.

Saifuddin menjelaskan, proses timbal balik susulan persetujuan Malaysia melakukan rundingan semula ECRL mencakupi beberapa kepentingan seperti penambahan kadar pembelian kelapa sawit oleh China, selain kesepakatan untuk meningkatkan kapasiti penggunaan tenaga mahir dan bahan dari Malaysia untuk projek rel dengan jajaran sepanjang 648 kilometer (km) itu.

“Ia situasi menang-menang kerana kita tahu ECRL adalah projek penting kepada China, manakala persoalan utama ditekankan Malaysia pula berkisar kepada keperluan mengurangkan kos projek. Justeru, hakikat bahawa kita mampu melakukan penjimatan RM21.5 bilion ialah satu kejayaan.

“Pada pengetahuan saya, penambahan kadar pembelian kelapa sawit, pengurangan kos projek dan peningkatan guna tenaga mahir adalah antara manfaat yang diperoleh daripada rundingan semula ECRL, diterajui (bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan), Tun Daim Zainuddin,” katanya menjawab persoalan sama ada kelulusan meneruskan projek rel mega itu mempunyai butiran ‘perjanjian’ tersembunyi.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata kerajaan ketika ini dalam fasa membongkarkan rangkaian penipuan dengan mewujudkan polemik mengenai keputusan Malaysia memeterai Statut Rome sehingga mencetuskan kegusaran dan kecelaruan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab didalangi sekumpulan individu dengan memanipulasi fakta untuk mencetuskan kekeliruan, selain didorong cubaan untuk menakutkan orang itu didapati turut membabitkan beberapa ‘profesor kangkung’.

“Kita belajar daripada pengalaman (memeterai Statut Rome). Justeru, pendekatan lebih berhati-hati dengan meningkatkan cara berkomunikasi akan dilaksana, malah saya sudah pergi ke dua pusat penyiaran televisyen untuk mendedahkan rangkaian pembohongan.

“Pendedahan ini perlu dilakukan kerana kita sedar ada orang yang menipu, termasuk beberapa profesor kangkung! Sehingga kini tiada maklum balas (usaha membela diri) daripada mereka,” katanya.

3648 dibaca
Berita Harian X