Ahad, 21 April 2019 | 2:36pm
DATUK Mohamaddin Ketapi. - Foto Rosela Ismail

PKGS dalam proses diwartakan sebagai tapak warisan

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedang dalam proses mewartakan Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata beliau menghargai keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk menjaga alam sekitar dengan melencongkan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk mengekalkan warisan geologi dan semula jadi PKGS.

“PKGS sedang dalam proses pewartaan sebagai tapak warisan bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) yang membabitkan sebanyak 210 lot tanah.

“Selain itu, kementerian sudah menghantar dokumen PKGS dalam Senarai Tentatif kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebelum ini bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, PKGS juga adalah Hutan Simpan Hulu Gombak Tambahan 1 (Bukit Batu Tabur) yang sudah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal bawah Seksyen 10 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 sebagai Taman Negeri.

“PKGS adalah tapak warisan geologi semula jadi serta warisan permatang kuarza terpanjang di dunia sepanjang 14 kilometer dan mencecah jutaan tahun usia batuannya dan memiliki nilai saintifik serta nilai landskap semula jadi yang sangat luar biasa,” katanya.

Beliau berharap supaya negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan bukan kerajaan turut bekerjasama memulihara serta melindungi kawasan berkenaan supaya boleh menjadi antara ikon dan destinasi pelancongan terpenting negara.

“Dengan pewartaan itu nanti, Malaysia akan lebih megah dengan kepelbagaian produk yang tidak hanya berunsurkan produk pelancongan seperti pantai dan pulau, malah tapak warisan dunia. Ini adalah satu kebanggaan buat negara,” katanya.

Berita Harian X