Ahad, 21 April 2019 | 8:43am
QARIAH Malaysia yang merangkul Johan Kategori Tilawah, Nor Farhatul Fairuzah Panut menunjuk trofi yang dimenangi pada Majlis Perasmian Penutupan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61. - Foto BERNAMA

Qariah Malaysia mahu bawa ibu tunai umrah

KUALA LUMPUR: Qariah Malaysia, Nor Farhatul Fairuzah Panut yang menjuarai Kategori Tilawah (Wanita) pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-61, malam tadi, mahu membawa ibu menunaikan umrah menggunakan wang kemenangannya.

Nor Farhatul Fairuzah, 19, yang memperoleh 87.05 peratus markah menerima hadiah kepingan emas bernilai RM70,000, wang tunai RM40,000 dan piala iringan.

Pelajar Tingkatan Enam dalam bidang syariah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Negeri Sembilan itu berkata, ibunya, Jaliah Simin, 63, pernah menyatakan keinginan menunaikan umrah, justeru beliau mahu merealisasikan hasrat berkenaan sebagai tanda terima kasih atas segala pengorbanan orang tua.

“Ibu pernah menunaikan umrah tetapi kali ini, saya mahu membawanya menggunakan wang kemenangan malam ini (tadi). Beliau adalah insan banyak menyokong selain arwah ayah, Panut Markom yang meninggal dunia pada 2017.

“Selain itu, saya mahu menyimpan hadiah kemenangan untuk kegunaan melanjutkan pengajian pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang MTHQA61 disempurnakan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, malam tadi.

Yang turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Bagi menghadapi pertandingan itu, Nor Farhatul Fairuzah yang juga anak bongsu daripada lima beradik berkata, beliau banyak melakukan latihan, terutama selepas setiap solat fardu.

“Saya mengamalkan membaca al-Quran selama 15 minit selepas solat, waktu paling sesuai selepas sembahyang subuh untuk ‘memecahkan suara’.

“Saya juga tidak mengambil minuman berais untuk menjaga suara,” katanya.

Qari Malaysia, Abdul Khair Jalil, 40, yang mengungguli Kategori Tilawah (Lelaki) MTHQA61 dan menerima hadiah sama pula mahu membawa isteri, Halimatun Samsori, mengerjakan ibadat haji menggunakan wang kemenangan itu.

“Insya-Allah, saya hendak membawa isteri menunaikan haji. Itu harapan dan niat yang sudah saya pasang sebelum ini.

“Saya bersyukur menjadi johan walaupun berdepan cabaran hebat daripada peserta lain, ada juga perasaan tertekan memandangkan Malaysia adalah tuan rumah,” katanya.

Beliau adalah pensyarah dalam bidang pengajian al-Quran di Pusat Bahasa dan Perkembangan Akademik Prauniversiti (CELPAD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gombak.

Bagi Kategori Hafazan (Lelaki), peserta dari Sweden, Mohamed Abdi dinobatkan sebagai juara, manakala kategori wanita dimenangi Fatouma Ousseni Moussa dari Niger.

Seramai 74 peserta dari 41 negara mengambil bahagian dalam MTHQA61, termasuk tujuh negara yang kali pertama menghantar wakil, iaitu Azerbaijan, Montenegro, Sweden, Norway, Austria, Kenya dan Ivory Coast.

MTHQA61 yang bertemakan ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ membabitkan 14 ahli jemaah hakim dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Indonesia, Singapura dan Brunei.

7993 dibaca
Berita Harian X