Sabtu, 20 April 2019 | 4:39pm
PENERIMA Anugerah Emas Presiden, Joann Priyanka (tengah) berkongi kejayaan bersama ibu bapanya S.Shunmugamnathan dan F. Josephine di Majlis Graduasi ke-23, Kumpulan Kolej MSU di Dewan Canselor Management and Science University (MSU). - Foto Roslin Mat Tahir.

Anak tukang jahit buktikan kemampuan

SHAH ALAM: “Jangan bimbang tentang duit, fokus pada pelajaran,”. Itu kata-kata semangat dipegang anak tukang jahit, S Joann Priyanka, 25, yang dipilih menerima Anugerah Emas Presiden bersempena Majlis Graduasi Ke-23, Kumpulan MSU College di sini, hari ini.

Graduan Diploma Reka Bentuk Grafik MSU College Cawangan Seremban, Negeri Sembilan, berkata ibunya, Josephine Francis, 54, yang kuat bekerja dan mementingkan pembelajaran anak menjadi pendorong serta inspirasi terhadap kejayaan dimiliki.

Beliau yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk, Permainan dan Animasi di MSU, berkata pengurusan masa ialah antara kunci penting bagi membantu pelajar mencipta kecemerlangan.

“Saya bukan datang dari keluarga senang justeru saya selalu membantu ibu di kedai selepas habis waktu kuliah termasuk memiliki kemahiran asas dalam jahitan seperti menolong ibu menjahit zip (kerja asas).

“Memandangkan saya sudah didedahkan dengan jahitan sejak berumur 13 tahun, kemahiran ini juga membantu saya mengaplikasikannya dalam kursus diikuti (program diploma) kerana asas melukis diperoleh ketika membantu ibu,” katanya ketika ditemui pada majlis graduasi berkenaan.

Joann Priyanka berkata, beliau juga terbabit aktif dalam pelbagai program dan aktiviti anjuran kolej seperti menjadi Timbalan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang menyerlahkan sifat kepemimpinannya.

“Peluang menjadi pemimpin secara tidak langsung membantu saya meningkatkan keyakinan diri dan pendedahan kemahiran pelbagai bahkan dapat mengubah sifat pemalu pada diri,” katanya.

Pada majlis itu, Pengerusi Kumpulan MSU College dan Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin menyampaikan diploma serta sijil kepada 744 graduan membabitkan pelbagai bidang.

Antaranya, pengajian sains kesihatan, farmasi, sains maklumat, kejuruteraan, pengurusan perniagaan, pengajian profesional, pendidikan, hospitaliti dan seni kulinari.

Yang turut hadir, Presiden MSU dan Kumpulan MSU College, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid serta Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Dalam sidang media kemudiannya, Mohd Shukri berkata, MSU College kini dalam usaha untuk mencapai sasaran 50 peratus bagi melaksanakan program pengajian berasaskan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Kami percaya usaha ini dapat melahirkan lebih ramai graduan yang berkemahiran tinggi dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Majlis graduasi itu menyaksikan pelajar Diploma Pengurusan, MSU College Cawangan Seremban, Firhan Kat Faisal Kat Tze Hoong dipilih menerima Anugerah Mohd Shukri Yajid.

Selain itu, seramai 11 graduan menerima Anugerah Akademik, empat graduan (Anugerah Industri) dan 36 graduan terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang juga kumpulan keempat mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Hotel di MSU College.

Berita Harian X