Sabtu, 20 April 2019 | 12:19pm
NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman. - NSTP/Syamsi Suhaimi

'Tumpat tidak harus terpinggir daripada impak ECRL'

KOTA BHARU: Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal membawa banyak impak sosioekonomi terutama di kawasan luar bandar perlu dilanjutkan jajarannya sehingga ke Tumpat.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman, berkata ini kerana daerah itu berpotensi untuk dimajukan.

Beliau berkata, tidak lengkap dan tidak adil jika projek ECRL itu hanya setakat Kota Bharu, tanpa melalui Tumpat seperti pelan asal.

Justeru, beliau yang juga Ketua BERSATU Kota Bharu berkata, jika Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan cadangan itu, pelaksanaan perlu dilakukan segera bagi mengelak lebih banyak kos terbabit.

“Sebelum ini, stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tumpat terkenal dengan stesen terakhir dari Kuala Lumpur sebelum perkhidmatan ini terhenti. Jadi, kita mahu Tumpat menjadi sebahagian daerah yang menerima impak ECRL bagi meneruskan fungsi daerah itu sebagai stesen terakhir.

“Banyak potensi yang boleh dimajukan di Tumpat dengan adanya laluan ECRL di daerah itu. Antaranya aktiviti perniagaan, serta perkilangan, sekali gus akan menyebabkan lebih banyak pembangunan dilakukan di Tumpat.

“Kita tidak mahu Tumpat terus menjadi pekan ‘koboi’ yang terpinggir daripada pembangunan, sedangkan daerah itu mempunyai pelbagai potensi pembangunan dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Futsal Terbuka Piala Tan Sri Rashid yang disertai 60 pasukan di Kota Bharu Arena Futsal, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan Kerajaan Pusat akan meneruskan ECRL dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion.

Jabatan Perdana Menteri dipetik berkata, kos pembinaan fasa 1 dan 2 ECRL itu berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asalnya pada RM65.5 bilion.

Pengurangan kos itu dicapai selepas Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

605 dibaca
Berita Harian X