Sabtu, 20 April 2019 | 9:24am
TIMBALAN Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (tiga dari kiri) merasmikan Kelab Usahawan Wanita Kelantan (KUWAK) ketika hadir pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agong Kali ke-3 di Dewan Crystal Colour Avenue Jalan Pekeliling. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Sumbangan ekonomi usahawan kecil dan sederhana disasar cecah RM500 bilion menjelang 2020

KOTA BHARU: Hasil sumbangan ekonomi usahawan kecil dan sederhana di negara ini disasarkan mampu mencecah RM500 bilion menjelang 2020.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, berkata setakat ini, hasil ekonomi disumbangkan oleh hampir sejuta usahawan kecil dan sederhana ialah RM350 bilion.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah terbabit masih rendah berbanding bilangan usahawan berdaftar itu.

“Jumlah usahawan ramai tetapi sumbangan tidak besar, iaitu sekadar 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kita mahu peratusan sumbangan itu meningkat kepada 41 peratus menjelang 2020. Walaupun jumlah itu agak tinggi, tidak mustahil ia mampu dicapai usahawan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kelab Usahawan Wanita Kelantan (KUWAK), di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi KUWAK, Nor Ariati Salleh.

Justeru, Mohd Hatta berkata, kementerian akan memberi tumpuan untuk membantu usahawan berkenaan supaya mereka dapat memberikan sumbangan lebih besar

“Bagi usahawan yang sudah memulakan perniagaan dan berpengalaman, kita mencadangkan supaya mereka meningkatkan hasil dengan mencari pasaran lebih besar, termasuk mengeksport keluaran ke luar negara. Bagi usahawan baharu pula, kita menggalakkan mereka melakukan perniagaan kecil terlebih dahulu.

“Kerajaan sentiasa membantu mereka yang mahu menceburi bidang perniagaan dengan menyediakan pelbagai dana. Namun, kita berharap mereka yang mahu mendapatkan dana berkenaan komited dengan bidang diusahakan,” katanya.

308 dibaca
Berita Harian X