Jumaat, 19 April 2019 | 8:38pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media khas di Yayasan Al-Bukhary. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Projek Bandar Malaysia disambung semula - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan meneruskan semula projek Bandar Malaysia dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM140 bilion selepas ia ditangguhkan secara tiba-tiba pada Mei 2017.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet kelmarin selepas yakin ia akan membawa kesan besar kepada pembangunan bandar bagi Malaysia selain menarik pelaburan langsung asing.

“Kerajaan yakin Bandar Malaysia akan memberi kesan besar kepada ekonomi Malaysia dan berfungsi sebagai hab global bagi menarik lebih banyak firma kewangan, teknologi dan keusahawan global yang berimpak tinggi.

“Ia akan menarik institusi kewangan antarabangsa, syarikat multinasional dan syarikat Fortune 500 untuk menempatkan ibu pejabat serantau mereka di Bandar Malaysia.

“Selain itu, gergasi teknologi seperti Alibaba dan Huawei juga menunjukkan minat untuk membuka pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mereka,” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary di sini, petang tadi.

Bandar Malaysia adalah projek pembangunan berkeluasan 197 hektar di bekas lapangan terbang lama Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL) di Sungai Besi.

Bandar Malaysia dibangunkan pemaju induknya, TRX City Sdn Bhd, milik penuh Kementerian Kewangan. Sebelum ini ia dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Disebabkan 1MDB dibebani hutang berjumlah RM42 bilion, syarikat itu membuat keputusan melupuskan 60 peratus ekuiti dalam projek Bandar Malaysia.

Pada akhir tahun 2015, 1MDB menjual 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia kepada Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).

Dr Mahathir berkata, Kabinet juga bersetuju meneruskan semula projek itu selepas mendapati kerajaan turut mempunyai saham dalam syarikat pemaju projek berkenaan dan bukan sepenuhnya milik China.

Beliau berkata, pemaju utama projek itu IWH-CREC Sdn Bhd iaitu konsortium syarikat Malaysia dan China akan meneruskan kerja projek berkenaan.

“Selepas kita buat siasatan, sebenarnya syarikat China hanya memiliki pegangan saham sebanyak 24 peratus, selebihnya dimiliki syarikat Malaysia. Kerajaan pula memiliki pegangan saham sebanyak 40 peratus.

“Disebabkan itu kita mahu bina semula projek Bandar Malaysia. Kita mahu ia berjalan semula,” katanya.

Perdana Menteri turut berkata, ketika kerajaan menamatkan kontrak IWH-CREC, kerajaan membayar balik deposit berjumlah RM800 juta kepada konsortium terbabit tetapi mereka kini perlu membayar balik kepada kerajaan.

“Kerajaan menyambut baik komitmen IWH-CREC yang membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM500 juta selain jumlah deposit asal RM741 juta yang akan dibayar dalam masa 60 hari dari tarikh kerajaan meneruskan semula secara rasmi projek itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Bandar Malaysia juga akan menjadi perintis dalam pembinaan bandar terancang dan menjadi sebuah pembangunan yang berorientasikan transit (TOD).

Sementara itu, Dr Mahathir berkata kerajaan masih menunggu kelulusan Majlis Raja-Raja berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu selepas Tan Sri Richard Malanjum bersara wajib pada 12 April lalu.

Katanya, peruntukan menetapkan kerajaan perlu mengemukakan cadangan nama calon Ketua Hakim Negara kepada Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kita sudah maklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan ada keperluan untuk memaklumkan kepada raja-raja juga. Kita sedang menunggu kelulusan,” katanya.

3216 dibaca
Berita Harian X