Khamis, 18 April 2019 | 3:22pm
QARI Malaysia, Abdul Khair Jalil memperdengarkan bacaan al-Quran pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Aizuddin Saad

Qari Malaysia hampir tarik diri kerana gugup

KUALA LUMPUR: Qari Malaysia, Abdul Khair Jalil hampir menarik diri daripada mewakili negara ke Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa malam tadi kerana terlalu gugup untuk memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran di hadapan penonton, selain ia disiarkan secara langsung di saluran RTM.

Bagaimanapun, pensyarah Ilmu Wahyu dan al-Quran di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berusia 40 tahun itu tidak berbuat demikian selepas mendapat nasihat dan kata-kata semangat daripada dua gurunya yang turut berada di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Biarpun pernah bergelar johan Musabaqah al-Quran Peringkat Antarabangsa Kuwait Kali Ke-7 pada 2016 dan johan qari Majlis Tilawah al-Quran 2019, namun beliau tetap gugup dan gementar apabila pertama kali mewakili Malaysia.

“Memang betul saya pernah menjadi juara kategori qari ketika mewakili Malaysia di Kuwait beberapa tahun lalu, namun suasananya amat berbeza dan saya amat yakin untuk menang kerana bertanding di luar negara.

“Tetapi apabila pertama kali mewakili negara ke Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Malaysia, suasananya amat berlainan dan saya amat gugup dan takut mahu memperdengarkan bacaan al-Quran di hadapan orang ramai dan disiarkan secara langsung di televisyen.

“Tekanan yang saya rasa sebelum memperdengarkan bacaan dari Surah al-Israa’ mulai ayat ke-78 malam tadi amat kuat sehingga saya rasa gugup, gemuruh dan mahu menarik diri daripada mewakili Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah hotel di sini, hari ini.

Abdul Khair berkata beliau tidak mendengar dan menonton siaran langsung tilawah al-Quran pada malam sebelumnya kerana terlalu tertekan dan gugup serta bimbang ia akan mempengaruhi mutu bacaannya.

“Saya hanya mengikuti bacaan ayat suci al-Quran yang diperdengarkan oleh qari dan qariah pada hari pertama dan malam ini, kerana takut tidak mampu menyaingi kehebatan mereka.

“Oleh itu saya ambil keputusan untuk tidak menonton dan tidur awal selepas solat Isyak kerana terlalu takut,” katanya yang menjadikan bekas johan qari Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 1999 dan pakar taranum, Che Yahya Daud serta johan qari peringkat antarabangsa tahun 1994 dan 1995, Abdul Rahim Ahmad sebagai idola dan gurunya.

Abdul Khair adalah antara 25 qari dan 11 qariah dari seluruh dunia yang sudah dan akan memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran tahun ini.

Seramai lapan lagi peserta dijangka memperdengarkan bacaan al-Quran masing-masing termasuk qariah dari Malaysia, Nor Farhatul Fairuzah Panut malam ini.

Sementara itu, qari dari Indonesia, Heri Kuswanto, 36, melahirkan keyakinan bahawa beliau mampu menduduki sekurang-kurangnya tangga ketiga biarpun menghadapi saingan sengit peserta dari negara lain termasuk Malaysia.

“Walaupun dari segi kualiti bacaan memang setiap peserta mempunyai kelebihan dan kekurangan, namun kalau ada rezeki, insya-Allah saya mampu berada dalam kelompok tiga qari terbaik.

“Jadi saya berharap penyertaan kali pertama ini mampu membuahkan hasil yang baik buat saya dan qariah dari Indonesia,” katanya.

5255 dibaca
Berita Harian X