Isnin, 15 April 2019 | 7:15pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media mengumumkan pelaksanaan semula projek ECRL di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Penyambungan semula projek ECRL bukan sebagai pertukaran bagi Jho Low

PUTRAJAYA: Pelaksanaan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak membabitkan pertukaran maklumat mengenai lokasi ahli perniagaan Malaysia yang hidup dalam pelarian, Low Taek Jho atau Jho Low, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, perkara mengenai Jho Low tidak ada kaitan langsung dengan persetujuan dicapai dalam rundingan pelaksanaan semula projek ECRL.

Perjanjian Tambahan (SA) dimeterai antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) pada 12 April lalu.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia akan mendapatkan bantuan China jika Jho Low benar-benar berada di China.

“Memang tiada kaitan dengan Jho Low (perjanjian tambahan ECRL),” katanya pada sidang media mengumumkan pelaksanaan semula projek ECRL di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada perjanjian ECRL yang dimeterai itu termasuk sebagai pertukaran untuk China mengesan Jho Low.

Mengikut laporan terkini media, Jho Low, yang didakwa menjadi dalang dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dipercayai tinggal di China, dan baru-baru ini dikatakan melakukan perjalanan ke Hainan, Hong Kong dan Beijing.

Selain Malaysia, Jho Low juga sedang diburu Singapura dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS).

504 dibaca
Berita Harian X