Isnin, 15 April 2019 | 6:28pm
KETUA Pengarah Pusat Pelancongan Islamik (ITC), Datuk Seri Abdul Khani Daud. - Foto BERNAMA

Malaysia sasar pelancong Asia Tengah, perkukuh destinasi pelancongan Islam unggul

KUALA TERENGGANU: Malaysia perlu memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan Islam paling unggul yang didominasi sejak sembilan tahun berturut-turut, dengan meneroka pasaran pelancong muslim dari negara Asia Tengah.

Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islamik (ITC), Datuk Seri Abdul Khani Daud, berkata negara Asia Tengah seperti Uzbekistan, Kazakhstan, Turkmenistan, Bosnia dan Russia adalah antara negara yang mempunyai 90 peratus populasi muslim yang boleh memanfaatkan sektor pelancongan Islamik di negara ini.

Beliau berkata, pemain industri pelancongan tempatan perlu meningkatkan promosi produk pelancongan Malaysia kepada pelancong negara berkenaan, sekaligus memperkukuh kembali kedudukan Malaysia di tangga pertama selama sembilan tahun berturut-turut dalam Indeks Pelancongan Islam Global.

Bagaimanapun, tahun ini, buat julung kalinya kedudukan yang ditentukan menerusi indeks oleh ‘MasterCard-CrescentRating Global Muslim Travel Index ‘(GMTI) itu terpaksa dikongsi bersama Indonesia.

“Sebelum ini kita banyak beri fokus untuk tarik pelancong dari Timur Tengah, kini kita lihat negara Asia Tengah berpotensi besar kerana bagi mereka Malaysia, Indonesia dan Brunei adalah negara Islam yang unggul sebagai destinasi pelancongan Islamik.

“Kita dah masuk ke negara seperti Kazakhstan dan Uzbekistan, tetapi masih banyak negara yang belum diteroka seperti Turkmenistan, Tajikistan, Bosnia dan Russia sendiri yang ada ramai masyarakat muslim,” katanya selepas majlis perasmian Simposium Pelancongan Islam, di sini, hari ini.

Simposium yang kali pertama diadakan di luar Kuala Lumpur itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Naib Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Akil Yusof.

Mengulas lanjut, Abdul Khani berkata, mengikut data dikeluarkan GMTI, sektor pelancongan Islamik dunia dianggarkan bernilai AS212 bilion pada 2020 dan peluang itu wajar direbut oleh Malaysia bagi meningkatkan ekonomi negara.

Sementara itu, beliau berkata, institusi sekolah pondok dilihat berpotensi untuk dipromosikan sebagai produk pelancongan Islam melalui sektor pelancongan pendidikan di negara ini.

Beliau berkata, sekolah pondok boleh dijadikan inap desa atau pusat pelancongan yang boleh dilawati pelancong, terutama dari Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand bagi melihat sendiri pembelajaran serta kehidupan di sana.

“Di Terengganu sendiri contohnya, ada 65 sekolah pondok dan jika ia dijadikan sebagai tarikan pelancongan terutama untuk mereka yang mahu belajar agama, ia dapat memperkukuhkan sektor pelancongan pendidikan kita,” katanya.

133 dibaca
Berita Harian X