Isnin, 15 April 2019 | 4:21pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

ECRL: CCCC pulangkan sebahagian bayaran pendahuluan RM3.1 bilion

PUTRAJAYA: China Communications Construction Company Ltd (CCCC) setuju memulangkan sebahagian daripada RM3.1 bilion bayaran pendahuluan Fasa 2 Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Landasan Berkembar dan Jajaran Utara berdasarkan kontrak asal.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, RM500 juta akan dibayar balik dalam tempoh seminggu dari 12 April 2019 dan tambahan RM500 juta dalam tempoh sebulan dari 12 April 2019.

“Baki akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan selepas potongan untuk tuntutan disahkan akibat kerja terbantut, penggantungan dan pembatalan jajaran utara,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Perdana Menteri berkata, mengikut perjanjian asal ECRL, jumlah kos projek ialah RM66.7 bilion dengan jumlah pinjaman dari China-EXIM Bank, pada 85 peratus daripada kos projek, akan berjumlah RM56.7 bilion.

Katanya, di bawah kerajaan lalu, jumlah semasa yang ditandatangani dengan China-EXIM Bank adalah RM39.1 bilion untuk Fasa 1 sahaja, manakala baki RM17.6 bilion untuk Fasa 2 dan Jajaran Utara masih belum ditandatangani.

“Dengan perjanjian baharu ECRL pada kos RM44 bilion, jumlah pinjaman dari China-EXIM akan dikurangkan dengan ketara.

“Jumlah itu masih dirundingkan dan kita membayangkan ini akan membawa pengurangan beban kewangan kerajaan dari segi jumlah bayaran balik, kos faedah dan yuran lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Malaysia dan China setuju membentuk syarikat usaha sama untuk mengurus, mengendali dan menyelenggara rangkaian rel ECRL.

Katanya, ia susulan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB) dan CCCC menandatangani Perjanjian Tambahan (SA) pada Jumaat lalu yang membuka jalan bagi pemulihan projek ECRL.

Beliau berkata, Perjanjian Tambahan (SA) kepada Kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan & Pentauliahan (EPCC) merangkumi Fasa 1 dan 2 dengan kos yang dikurangkan sebanyak RM44 bilion.

“Ini pengurangan ketara sebanyak RM21.5 bilion atau 32.8 peratus daripada kos asal iaitu RM65.5 bilion.

“ECRL (dengan perjanjian) lebih baik ini akan menelan kos RM68.7 juta per kilometer (km) berbanding RM95.5 juta per km mengikut perjanjian asal,” katanya.

Jajaran baharu itu akan melalui 20 stesen dari Kota Bahru ke Kuala Terengganu, Kuantan, Mentakab dan melalui Jelebu, Bangi/Kajang, Putrajaya Sentral dan ke Pelabuhan Klang.


Gambaran laluan Projek Rel Pantai Timur (ECRL). - Foto BERNAMA

Projek ECRL akan disambung semula, dengan kos dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion daripada unjuran asal sebanyak RM65.5 bilion. - Foto BERNAMA

Ia akan melalui lima negeri dan Putrajaya berbanding empat sebelum ini, yang akan membolehkan lebih banyak negeri memperoleh manfaat limpahan ekonomi dan tarikh penyempurnaan baharu ECRL pada 31 Disember 2026, dilanjutkan dari 30 Jun 2024.

Perdana Menteri berkata, jajaran selatan akan menyediakan laluan darat langsung dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang dan menjadi jambatan darat antara kedua-dua pelabuhan.

“Jajaran baharu ini akan memanfaatkan KLIA Express Rail Link (ERL) sedia ada serta MRT2 SSP Line yang akan dilaksanakan, dengan stesen pertukaran di Putrajaya Sentral,” katanya.

Perdana Menteri berkata, penyelarasan baharu bagi laluan ECRL juga memberi keutamaan kepada faktor kebudayaan, warisan dan persekitaran dengan mengelak Klang Gate Quarts Ridge di Gombak, Selangor, iaitu permatang kuartza terpanjang di dunia.

Berita Harian X