Isnin, 15 April 2019 | 1:46pm
NAJIB (tengah) meninggalkan mahkamah ketika berhenti rehat bagi perbicaraan atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali.

1 juta saham SRC dipegang Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, terdapat satu juta saham SRC International Sdn Bhd (SRC International) yang diterbit dan dipegang oleh Menteri Kewangan.

Penolong Pendaftar SSM, Muhamad Akmaludin Abdullah, 35, yang juga saksi pertama pendakwaan dalam kes SRC International yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak, berkata pegangan satu juta saham oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) adalah setakat tarikh dokumen dicetak iaitu 22 Mei 2018.

Ketika soal balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, Muhamad Akmaludin berkata semua maklumat itu diperoleh berdasarkan dokumen yang difailkan ke SSM oleh syarikat berkenaan.

Harvinderjit: Nama pengarah dan pegawai yang ada dalam rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) adalah setakat 22 Mei 2018?

Muhamad Akmaludian: Betul

Harvinderjit: Kamu tahu Kementerian Kewangan Diperbadankan?

Muhamad Akmaludin: Tidak

Harvinderjit: Maklumat Menteri Kewangan ini adalah berdasarkan dokumen difailkan ke SSM oleh SRC International?

Muhamad Akmaludin: Betul

Harvinderjit: Itu adalah penyata beraudit terakhir yang difailkan di SSM?

Muhamad Akmaludin: Betul

Sementara itu, Muhamad Akmaludin turut memberitahu mahkamah yang SRC International ditubuhkan sejak 7 Januari 2011, pada awalnya saham syarikat itu tidak dimiliki oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya, Muhamad Akmaludin berkata pengarah dan pemegang saham asal SRC International adalah Nik Faisal Ariff Kamil dan Vincent Beng Huat Kuah.

Harvinderjit: Daripada tarikh syarikat ditubuhkan, nama SRC International masih kekal?

Muhammad Akmaludin: Betul

Harvinderjit: Syarikat itu daripada asal ditubuhkan dengan nama SRC International?

Muhammad Akmaludin: Betul.

Harvinderjit: Pada tarikh SRC International ditubuhkan, saham syarikat itu tidak dimiliki oleh 1MDB?

Muhammad Akmaludin: Betul

Harvinderjit: Pada waktu itu, syarikat ini dipegang oleh dua individu?

Muhammad Akmaludin: Betul

Harvinderjit: Kesemua keputusan tentang pelaburan terletak atas board ini (lembaga pengarah)?

Muhammad Akmaludin: Betul

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018 pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

3349 dibaca
Berita Harian X