Sabtu, 13 April 2019 | 7:59pm
MENTERI Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Terengganu optimis tidak dipinggir daripada ECRL

PERMAISURI: Kerajaan negeri optimis projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak meminggirkan Terengganu, kerana sebarang perubahan jajaran daripada pelan asal sebelum ini akan membabitkan kos tambahan lebih besar.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata secara logiknya Terengganu tidak akan tercicir daripada jajaran ECRL jika kerajaan mahu mengurangkan kos pembinaannya seperti dimuktamadkan semalam, pada kos RM44 bilion.

“Pada peringkat ini, saya optimis Terengganu turut termasuk dalam pelan terbaru jajaran ECRL sebab sebarang perubahan laluan yang besar dan tidak mengikut pelan asal akan membabitkan kos tambahan.

“Jadi, tak masuk akal buat laluan baharu yang akan babitkan kos pengambilalihan tanah, pembinaan stesen dan tempat kerja baharu. Sekarang stesen dan tempat (kerja) ini kita sudah ada.

“Tak timbul laluan terus Kota Bharu ke Mentakab. Secara logiknya, laluan itu akan masuk ke Terengganu, sebab jika bercakap mengenai pengurangan kos, itulah caranya (kekalkan laluan Terengganu),” katanya selepas pelepasan Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu 2019 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, di sini, petang ini.

Beliau mengulas kenyataan Utusan Khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin, bahwa laluan ECRL diteruskan pada kos RM44 bilion, pengurangan RM21.5 bilion daripada nilai asal RM65.5 bilion, dengan jajaran baharu bermula dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan Pelabuhan Klang.

Pada sidang media khas di Beijing, China, semalam, Daim berkata, China dan Malaysia bersetuju meneruskan projek kontroversi itu dengan formasi landasan berkembar, namun jarak jajaran sepanjang 688 kilometer (km) dikurangkan 40 km kepada 648 km.

Ahmad Samsuri bagaimanapun berkata, beliau mahu menunggu penjelasan lanjut perkembangan projek mega itu selepas sidang media Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Isnin ini.

“Esok pun Daim akan datang ke Terengganu sempena Bicara Darul Iman dan kita akan berbincang lebih lanjut dengan beliau,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, projek ECRL juga sudah membabitkan penubuhan konsortium pada peringkat negeri yang menggabungkan syarikat kecil termasuk anak syarikat kerajaan negeri dan kontraktor tempatan untuk terbabit dalam projek mega berkenaan.

Berita Harian X