Sabtu, 13 April 2019 | 12:11pm
Antara peserta yang menyertai acara berjalan kaki MSAM Walk 2019, di Amanjaya Mall, Sungai Petani. - NSTP/Nor Farhani Che Ad

4,800 sertai MSAM Walk 2019

SUNGAI PETANI: Lebih 4,800 orang menyertai acara berjalan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) Walk 2019 di Amanjaya Mall di sini, pagi ini.

Majlis pelepasan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Firdaus Ahmad.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), Datuk Mohammad Azlan Abdullah.

MSAM Walk sejauh 3.3 kilometer dianjurkan sempena penganjuran MSAM edisi ke-20 tahun ini anjuran PNB yang akan berlangsung dari 19 hingga 25 April ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual merasmikannya pada 21 April ini.

Ini kali kedua MSAM diadakan di Kedah. Kali pertama ia berlangsung di Alor Setar pada 2002.

Kira-kira sejuta pelabur di Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah dari Kedah dengan pelaburan berjumlah RM13.5 bilion.


Mohd Firdaus (kiri, atas pentas) melepaskan peserta pada Majlis Pelancaran MSAM Walk 2019, di Amanjaya Mall, Sungai Petani. - NSTP/Nor Farhani Che Ad

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, MSAM menjadi satu platform terbaik untuk orang ramai meningkatkan pengetahuan mengenai pendidikan pelaburan serta perancangan kewangan masing-masing bagi masa depan keluarga yang lebih baik.

“Ini kerana ada pameran yang menyediakan pelbagai platform dan aktiviti untuk pengunjung menerokai serta memahami perjalanan pelaburan mereka menerusi penganjuran MSAM itu,” katanya.

MSAM 2019 juga menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung termasuk sebuah Perodua Aruz, sebuah motosikal Honda Dash dan sebuah iPhone.

Untuk e-Peraduan pula, pengunjung berpeluang memenangi sebuah Ford Ranger 2.2L XLT, sebuah Toyota Vios 1.5G dan sebuah motosikal Yamaha R25.

Pengunjung juga boleh menyertai program yang dianjurkan oleh syarikat strategik PNB seperti Jejak Pelabur Bijak Maybank dan Jejak Pelabur Cilik SP Setia dalam usaha mendidik generasi muda mengenai literasi kewangan.

MSAM 2019 juga bakal dimeriahkan dengan persembahan artis seperti Hael Husaini, Adira dan Caliph Buskers.

Berita Harian X