Jumaat, 12 April 2019 | 12:08pm
Anwar dan Streram ketika berkempen sempena PRK DUN Rantau di Kedai Nasi Lemak Mak Bedah di Kampung Sendayan. - Foto Saifullizan Tamadi

Tegur kesilapan menteri demi kebaikan - Anwar

SEREMBAN: Teguran terbuka terhadap kesilapan dan kelemahan menteri wajar dilihat sebagai usaha memperbaiki kelemahan, selain membuktikan kesediaan kerajaan berlapang dada menerima kritikan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pandangan disuarakan Naib Presiden parti itu, Rafizi Ramli, yang menegur kesilapan beberapa menteri dibuat bagi memperbaiki keadaan.

Katanya, ia bagi memastikan kerajaan sentiasa peka dan dapat melaksanakan tugasan dengan lebih berkesan.

“Ini budaya baharu, boleh saling menegur dan memberi pandangan. Kita tidak boleh dibelenggu seperti pemikiran kerangka lama.

“Lagipun dia hanya tegur begitu saja dan saya sendiri pun ada buat beberapa teguran supaya (menteri) kerja lebih kuat, jadi apa isunya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ramah mesra di Kampung FELDA Sendayan, Rantau, di sini, hari ini.


Anwar dan Streram beramah mesra dengan penduduk ketika minum pagi di Kedai Nasi Lemak Mak Bedah di Kampung Sendayan pada kempen PRK DUN Rantau. - Foto Saifullizan Tamadi

Hadir sama, calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram.

Semalam, Rafizi menerusi sesi forum, secara terbuka menegur dan menyatakan beberapa menteri tidak mempunyai strategi komunikasi berkesan sehingga gagal memberi penerangan berkaitan pelbagai isu berbangkit.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kegagalan berkenaan dijadikan antara modal utama UMNO dan PAS untuk terus memainkan pelbagai isu, termasuk yang menyentuh aspek perkauman.

Anwar berkata, teguran dibuat Rafizi berniat baik dan ia dianggap perkara biasa dalam budaya Pakatan Harapan (PH).

“Saya pun semalam ada tegur Gobind (Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo) dan berkongsi pandangan saya berhubung internet.

“Beliau menerimanya dengan baik kerana tahu kita buat untuk kebaikan.

“Perkara ini normal, takkanlah nak tegur sikit pun tak boleh,” katanya.

Berita Harian X