Khamis, 11 April 2019 | 2:42pm
Dr Wan Azizah menjawab soalan pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Lantikan pesuruhjaya kanak-kanak diumum bulan ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk melantik seorang Pesuruhjaya Kanak-kanak berbanding cadangan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Kanak-kanak bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan perlindungan golongan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pesuruhjaya yang akan dilantik itu sekurang-kurangnya berupaya meneliti gambaran menyeluruh pelaksanaan hak kanak-kanak di Malaysia.

“Pemerhatian selanjutnya boleh dipertimbangkan untuk penubuhan sebuah suruhanjaya yang ideal untuk kanak-kanak pada masa hadapan.

“Pesuruhjaya ini akan bertindak sebagai semak dan dalam pengendalian isu kanak-kanak oleh kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi tempatan atau antarabangsa,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berhubung status penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak yang bebas di Malaysia, selain meminta kerajaan menyatakan tempoh sasaran untuk berbuat demikian.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pihaknya menerima kertas cadangan pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak daripada SUHAKAM pada 5 November, tahun lalu.

Susulan itu, katanya, sesi libat urus pelantikan jawatan berkenaan diadakan bagi mendapatkan pandangan pemegang taruh pada 23 November, tahun lalu dengan disertai kementerian, jabatan kerajaan dan NGO.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memulakan proses pengiklanan kepada umum mengenai pengambilan pesuruhjaya SUHAKAM pada akhir 2018.

“Individu yang mengemukakan pencalonan disaring dan kini sedang dimuktamadkan untuk kelulusan Perdana Menteri, justeru keputusan pelantikan akan diumumkan pada bila-bila masa dalam bulan ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Azalina yang mendakwa keputusan kerajaan menggunakan struktur sedia ada dalam SUHAKAM bagi menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak ibarat tindakan ‘tarik tali’, Dr Wan Azizah menjelaskan tanggapan sedemikian tidak timbul.

Beliau sebaliknya berkata pendekatan itu diambil bagi menjimatkan kos penubuhan suruhanjaya berkenaan, selain mempertimbangkan pelbagai isu yang melingkari golongan kanak-kanak di negara ini.

“Penyelesaian jangka pendek ini lebih praktikal, namun kita akan terus pantau bagi memastikan penggunaan struktur sedia ada menerusi SUHAKAM berupaya melaksanakan fungsi khas seperti digariskan kerajaan,” katanya.

Berita Harian X