Rabu, 10 April 2019 | 4:55pm
Mohamed Azmin pada sidang media selepas pembentangan Kertas Putih FELDA di Parlimen. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Skandal FELDA: Mohamed Azmin sahkan lebih banyak laporan polis akan dibuat

KUALA LUMPUR: FELDA akan membuat lebih banyak laporan polis terhadap beberapa individu yang dikenalpasti bertanggungjawab dalam kes kecurangan serius membabitkan kewangan agensi itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beberapa nama baharu dikenal pasti hasil audit forensik yang dilakukan terhadap FELDA sejak beberapa bulan lalu.

Menyifatkan kecurangan dilakukan pengurusan FELDA terdahulu sebagai jenayah, beliau berkata, semua individu yang didapati bertanggungjawab terhadap masalah dihadapi agensi itu akan diambil tindakan.

“Sudah pasti kita akan buat lebih banyak laporan polis selepas selesai pembentangan Kertas Putih FELDA di Parlimen. Kita sedang meneliti laporan audit forensik FELDA dan banyak nama yang muncul dalam siasatan ini.

“Kita akan buat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan dan tindakan harus diambil. Ini adalah jenayah, bukan kecuaian biasa kerana membabitkan kerugian berbilion ringgit wang rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada FELDA akan membuat lebih banyak laporan polis susulan pelbagai pendedahan dan salah laku didedahkan dalam Kertas Putih FELDA yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Kertas Putih itu antara lain menyebut nama bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa terbabit meluluskan serta mengarah dipercepatkan proses perolehan PT Eagle High Plantations Tbk (Eagle High).

Yang turut disebut adalah nama bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang didakwa bertanggungjawab meningkatkan hutang FELDA sehingga 1,100 peratus sepanjang memegang jawatan itu, selain memegang jawatan pengerusi 39 anak syarikat di bawah FELDA dan FGV Holdings Berhad (FGV).

BH hari ini melaporkan, FELDA membuat dua laporan polis berasingan berhubung dakwaan salah laku dalam dua transaksi dimasuki pengurusan sebelum ini yang mengakibatkan kerugian besar kepada lembaga pembangunan agensi pembangunan rancangan tanah itu.

Laporan pertama dipercayai membutirkan dakwaan FELDA dipaksa membeli 37 peratus saham syarikat perladangan Indonesia, Eagle High Plantations TPK (EHP) pada harga AS$505 juta (RM2.3 bilion) dengan menamakan Najib dan Mohd Isa serta usahawan Indonesia, Tan Sri Peter Sondakh.

Laporan kedua pula bagi meminta polis membuka semula kertas siasatan berhubung penipuan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di tanah milik FELDA seluas lapan hektar di Jalan Semarak di sini, yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada siasatan susulan (NFA).

Menerusi laporan polis itu, FELDA mendakwa wujud fakta dan dokumen menunjukkan kesalahan jenayah dilakukan beberapa individu, antaranya Mohd Isa dan pemilik Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), Datuk Abdul Rahman Soltan dan Datuk Noraini Soltan.

Berita Harian X