Rabu, 10 April 2019 | 3:50pm

Pandu laju, terlelap antara faktor nahas

KUALA LUMPUR: Terlelap atau micro sleep adalah antara punca yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya, termasuk membabitkan kematian.

Pakar Psikologi Trafik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Rozmi Ismail, berkata punca utama lain adalah memandu terlalu laju.

“Terlelap atau micro sleep umpama ‘orang buta’ memandu kenderaan. Pemandu mungkin memandu laju dan tiba-tiba tertidur seketika atau mengalami micro sleep beberapa saat, maka kenderaan terus terbabas,” katanya ketika dihubung BH, semalam.

Rozmi berkata, micro sleep tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya disebabkan pelbagai faktor lain, termasuk terlalu penat dan tidak cukup tidur, mungkin kerana bekerja mengikut syif.

“Sebelum pemandu terlelap, mesti ada faktor lain kerana Allah mencipta sesuatu mesti dengan sebab tertentu. Mungkin juga pemandu tidak cukup tidur dan rehat atau bekerja syif. Bila letih, badan kita tidak boleh berfungsi dengan baik.

“Bila kita bawa kereta dalam keadaan rileks, maka badan kita akan cenderung ‘berehat’ dalam keadaan micro sleep, sekali gus menyebabkan kemalangan secara tiba-tiba.

“Dari segi biologi dan lumrah Allah mencipta malam adalah untuk tubuh manusia berehat dan tidur. Sebab itulah bila malam, fungsi tubuh manusia berkurangan kerana kita bersedia untuk berehat dan tidur kecuali jika ambil ubat-ubatan tertentu atau bahan terlarang,” katanya.

Polis teliti CCTV

Di Sepang, Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah, berkata polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti punca nahas bas mengorbankan 12 nyawa termasuk empat wanita, Ahad lalu.

Beliau berkata, pihaknya juga akan meneliti keterangan mangsa kemalangan di Jalan S8 Pekeliling KLIA dekat MASkargo Sdn Bhd (MASkargo) itu dan setakat ini, enam mangsa nahas sudah memberi keterangan, manakala 17 lagi akan dirakam percakapan secara berperingkat.


Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan kerja menyelamat dalam kejadian bas pekerja yang terjatuh ke dalam longkang besar berhampiran kawasan MASKargo, Sepang, Ahad lalu.

“Mayat pemandu bas sudah dituntut keluarganya, manakala mayat 11 lagi mangsa belum dituntut termasuk dua yang belum dibuat pengecaman,” katanya ketika dihubungi semalam sambil meminta saksi kejadian menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, bas membawa 43 warga asing yang juga pekerja kontrak MASkargo dalam perjalanan ke tempat kerja dari asrama mereka di Nilai, Negeri Sembilan apabila dipercayai gagal dikawal sebelum menjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter.

Mangsa yang maut ialah lima warga Bangladesh, empat wanita warga Indonesia, dua warga Nepal dan seorang lelaki warga tempatan yang juga pemandu bas berkenaan.

Berita Harian X