Rabu, 10 April 2019 | 3:49pm
Seorang lelaki tempatan yang disyaki mendalangi pemerasan terhadap peniaga pasar borong di ibu negara sejak dua tahun lalu, akhirnya ditahan polis, kelmarin.

Dalang peras ugut peniaga pasar borong ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan yang disyaki mendalangi pemerasan terhadap peniaga pasar borong di ibu negara sejak dua tahun lalu, akhirnya ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata tangkapan suspek berusia 31 tahun itu dibuat hasil siasatan polis susulan pendedahan BH berhubung kegiatan kongsi gelap di kawasan terbabit.

Beliau berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 384, Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

“Selain lelaki itu, polis sedang mengesan dua lagi suspek yang dikenal pasti turut terbabit dalam pemerasan terhadap peniaga di pasar borong.

“Polis sudah menjalankan siasatan di kawasan dilaporkan BH itu. Bagaimanapun, perlu dijelaskan bahawa setakat semalam (kelmarin), polis tidak menerima sebarang laporan atau mengesan sebarang elemen pembabitan kongsi gelap dalam kawasan pasar borong itu.

“Sebaliknya, ia lebih menjurus kepada perbuatan segelintir individu yang mengambil kesempatan ke atas peniaga di kawasan terbabit. Modus operandi mereka adalah secara menyewakan kanopi atau tapak kepada peniaga dengan bayaran bulanan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kutip sewa bulanan

Mazlan berkata, siasatan polis turut mendapati kadar sewaan yang dikutip daripada peniaga di situ adalah di antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan.

“Kita turut mengesan ada pihak tertentu yang menjalankan kutipan harian berjumlah RM40 sehari. Sekiranya tuntutan mereka tidak dibayar peniaga, pihak berkenaan mengugut akan melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Mazlan dalam pada itu meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti seumpamanya supaya menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 atau mana-mana balai polis berhampiran.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kelmarin, akhbar ini mendedahkan kumpulan kongsi gelap dipercayai menjadi pelindung kepada pendatang asing di kebanyakan pasar borong, terutama di Lembah Klang bagi memastikan perniagaan mereka ‘kebal’ daripada tindakan pihak berkuasa.

Tinjauan wartawan BH dalam kalangan peniaga asing di sekitar pasar borong lama Selayang, mendapati mereka dikenakan ‘wang perlindungan’ atas nama sewa harian serendah RM50 bagi satu tapak.

Raih RM480,000 sebulan

Malah, wang yang dikutip setiap hari itu ada yang mencecah RM200 sehari, bergantung kedudukan tapak yang biasanya lebih tinggi, jika terletak pada laluan utama pintu masuk pasar.

Kumpulan itu dipercayai mampu meraih antara RM120,000 hingga RM480,000 sebulan bagi satu pasar borong hasil sewa tapak haram dan kutipan wang perlindungan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata pihaknya dan Polis Kuala Lumpur sentiasa bekerjasama dalam usaha membanteras jenayah tanpa mengira had sempadan negeri masing-masing.

“Sebagai pasukan yang bernaung di bawah satu bumbung, tiada istilah tolak-menolak di antara Polis Selangor dan Kuala Lumpur, khususnya dalam isu dakwaan pembabitan kongsi gelap di pasar borong.

“Malah, kita sentiasa bekerjasama dalam usaha memerangi jenayah selama ini, bagi Polis Selangor kita sedang menjalankan siasatan dan pemantauan berkenaan isu ini.

“Kita tidak beri peluang kepada mereka (kongsi gelap) jika mereka dikesan melakukan kesalahan, polis akan ambil tindakan menurut undang-undang sedia ada terhadap unsur kongsi gelap,” katanya.

Sementara itu, tinjauan semula wartawan BH ke Pasar Borong Lama Selayang selepas menerima maklumat kemungkinan operasi penguatkuasaan dilakukan pada lewat malam kelmarin, mendapati tapak perniagaan haram warga asing sepanjang kira-kira satu kilometer berkenaan lengang tanpa peniaga.

Rata-rata peniaga tempatan ketika ditemui mendakwa beberapa anggota polis berpakaian preman, meninjau pasar itu sambil merisik maklumat daripada mereka.

Berita Harian X