Rabu, 10 April 2019 | 3:33pm
Program Food Bank Malaysia sekarang adalah dalam fasa pertama di bawah dasar sifar sisa makanan yang kini dilaksanakan secara meluas di seluruh negara. - Arkib NSTP

Food Bank Malaysia diperluas ke kawasan Parlimen - Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan bekerjasama dengan Ahli Parlimen bagi memperluaskan program bantuan makanan menerusi inisiatif Food Bank Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata menerusi kerjasama berkenaan, Ahli Parlimen akan membantu mengenal pasti penduduk di kawasan Parlimen masing-masing yang layak mendapat bantuan.

“Ahli Parlimen perlu kenal pasti siapa yang layak dan kita akan padankan dengan pasar raya berdekatan untuk salurkan makanan. Kita menyasarkan satu pertiga daripada 222 Parlimen iaitu dalam 70 kawasan akan menerima manfaat,” katanya selepas menghadiri Forum Menteri Institut Pentadbiran Negara (INTAN), di sini hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya juga sudah menghantar pegawai bagi meninjau dan mempelajari kaedah pelaksanaan inisiatif ‘Global FoodBanking Network’ di luar negara yang boleh diguna pakai di Malaysia.

Semua inisiatif dilaksanakan itu, katanya, bertujuan memperkemaskan program Food Bank Malaysia yang dilancarkan pada Ogos lalu dan memberi manfaat kepada 37,000 individu dari kumpulan pendapatan 40 peratus terendah (B40) di seluruh negara.

Saifuddin berkata, antara perancangan terdekat adalah mewujudkan undang-undang perlindungan terhadap penyumbang dalam usaha menarik lebih banyak pihak menyalur sumbangan kepada program berkenaan.

“Program Food Bank Malaysia sekarang adalah dalam fasa pertama di bawah dasar sifar sisa makanan yang kini dilaksanakan secara meluas di seluruh negara khususnya di universiti awam (UA).

“Justeru, fasa terusnya adalah memperkenalkan undang-undang kawal selia yang bersifat melindungi segmen penyumbang. Sekiranya berlaku sesuatu maka ada undang-undang yang melindungi.

“Kita juga bercadang memberi insentif kepada penyumbang bagi mengalakkan lebih ramai tampil membantu masyarakat memerlukan, mungkin dalam bentuk pengecualian cukai. Kita masih membincangkan perkara ini,” katanya.

Semalam, beliau merasmikan Program Food Bank Siswa Malaysia di Universiti Malaya (UM), kampus terbaru menerima manfaat berkenaan selepas Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang; Kampus Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang.

Sebanyak 430 pasar raya juga sudah bersetuju untuk menjayakan program berkenaan dengan berperanan sebagai pembekal.

Berita Harian X