Rabu, 10 April 2019 | 12:39pm

Pembentangan Kertas Putih FELDA

UCAPAN YB DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI MENTERI HAL EHWAL EKONOMI SEMASA MEMBENTANGKAN USUL KERTAS PUTIH “KE ARAH KELESTARIAN LEMBAGA KEMAJUAN TANAH PERSEKUTUAN (FELDA)”

Tuan Yang di-Pertua,

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, dengan sukacitanya saya berdiri di hadapan Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan satu usul seperti berikut,

“Bahawa Dewan ini,

menyedari akan perlunya diberi penjelasan mengenai isu yang dihadapi oleh FELDA serta pelan pemulihan bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan memastikan kebajikan peneroka terus dibela oleh Kerajaan;

mengambil maklum cabaran dan pemasalahan peneroka, hasil penemuan audit forensik ke atas lapan (8) pelaburan yang dilaksanakan oleh FELDA dan anak syarikat serta prestasi kewangan FELDA, termasuk implikasi perjanjian pajakan tanah, pinjaman kepada peneroka dan pulangan pelaburan; dan

meluluskan dan merestui usaha Kerajaan untuk melaksanakan pelan pemulihan jangka pendek, sederhana dan panjang ke arah kelestarian FELDA seperti yang dibentangkan dalam Kertas Perintah Bil. 6 Tahun 2019.

Bahawa dalam meluluskan Kertas Putih “Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA)”, Dewan yang mulia ini menyeru agar semua pihak bersama-sama menyokong Kerajaan dalam menjayakan usaha ini.”

Dengan izin Tuan Yang di-Pertua, saya bentangkan Kertas Putih “Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA)” untuk dibahaskan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini.

Tuan Yang di-Pertua,


Pada Februari lalu, The Straits Times Singapura melaporkan FELDA bercadang melupuskan pegangannya dalam Eagle High. - Arkib NSTP

PENDAHULUAN

1. Bermula dengan 616 peneroka perintis di Rancangan FELDA pertama pada tahun 1958 di Lurah Bilut, Pahang, FELDA kini telah membangunkan 112,635 peserta di 317 tanah rancangan dengan keluasan 490,000 hektar.

2. FELDA bukan sahaja memenuhi objektif penubuhannya untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar, bahkan kecekapan dan kebertanggungjawaban pengurusan tokoh-tokoh awal FELDA seperti Tan Sri Taib Haji Andak dan YM Raja Tan Sri Muhammad Alias Raja Muhammad Ali telah membangunkan FELDA menjadi sebuah agensi yang mandiri. Namun, tunjang kekuatan yang lalu. FELDA mula merapuh sedekad yang lalu.


Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan Kertas Putih bertajuk Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA) di Dewan Rakyat.

SENARIO SEMASA FELDA

3. Jika dahulu FELDA sentiasa duduk di atas khazanah tunai berbilion ringgit, kini aliran tunai FELDA berada pada tahap kritikal. Baki tunai FELDA telah merosot daripada purata RM2.5 bilion dalam tempoh 2007 hingga 2011 kepada hanya RM400 juta pada tahun 2017. Kedudukan baki tunai terus menjunam sehingga RM35 juta sahaja pada 9 Mei 2018.

4. Kekangan aliran tunai ini telah menyebabkan FELDA tidak mampu menampung perbelanjaan operasi, kos penanaman semula dan bantuan serta pinjaman untuk peneroka. Isu defisit aliran tunai ini turut dibangkitkan dalam laporan audit Jabatan Audit Negara sejak tahun 2016.

5. Sebelum penyenaraian FGV, FELDA menjana keuntungan operasi melalui pengurusan ladang komersial milik FELDA seluas lebih kurang 400,000 hektar. Dalam tempoh 2007 sehingga 2011, FELDA mencatatkan keuntungan bersih di antara RM200 juta hingga RM1.1 bilion setahun.

6. Bagi tujuan penyenaraian FGV, FELDA telah menyerahkan pengurusan ladang komersial milik FELDA melalui Land Lease Agreement (LLA) untuk tempoh 99 tahun. Selepas penyenaraian FGV, khususnya mulai tahun 2013, prestasi kewangan FELDA mulai merosot. FELDA melaporkan kerugian secara berterusan sehingga mencatatkan kerugian tertinggi sebanyak RM4.9 bilion pada tahun 2017.

7. Mengikut LLA, FELDA akan menerima bayaran pajakan tanah ladang berjumlah RM248 juta setahun serta perkongsian keuntungan ladang pada kadar 15% setahun sebagai balasan pajakan tanah komersial milik FELDA. Namun, FELDA hanya menerima secara purata RM400 juta setahun daripada FGV berbanding keperluan sekurang-kurangnya RM800 juta setahun untuk mengurus ladang serta menjamin kebajikan peneroka.

8. Penyenaraian FGV telah menjana tunai sebanyak RM10.5 bilion, di mana FELDA telah memperolehi tunai sebanyak RM6 bilion dan baki selebihnya menjadi milik FGV. Perolehan FELDA sewajarnya dimanfaatkan untuk membangun kapasiti masa depan FELDA dan pembangunan ladang serta program modenisasi yang merangkumi teknologi serta R&D. Malangnya, RM1.4 bilion daripada hasil tunai yang diperolehi oleh FELDA melalui penyenaraian FGV telah dibelanjakan untuk membuat pelaburan yang sangat meragukan melibatkan transaksi gelap (shady transactions).

9. Manakala, sejumlah RM2.7 bilion pula telah digunakan untuk meraih sokongan politik menjelang Pilihan Raya Umum.

10. Kedudukan kewangan FELDA bertambah tenat akibat pembaziran berterusan dengan pembelian aset pada kadar yang lebih tinggi daripada harga pasaran. Sebagai contoh, pembelian Eagle High daripada PT Rajawali Capital International (yang dimiliki oleh Peter Sondakh) pada kadar 96% lebih tinggi berbanding dengan harga pasaran ketika itu. Pada Mac 2019, pelaburan berjumlah RM2.3 bilion itu hanya mempunyai nilai pasaran RM500 juta.

11. Dato’ Sri Najib Razak yang dikenali sebagai MO1 selepas ini, yang merupakan Menteri Kewangan pada ketika itu, terlibat dalam proses pelaburan ini dengan memberi arahan untuk menyegerakan transaksi tersebut dengan pembiayaan oleh Kementerian Kewangan. Tindakan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab bahkan bersifat jenayah. Kesan tindakan durjana ini menyebabkan FELDA menanggung liabiliti yang tinggi.

12. Situasi FELDA menjadi semakin serius dan parah akibat ‘corporate malfeasance’ atau kedurjanaan urus tadbir korporat.

13. Jumlah hutang FELDA telah meningkat dengan ketara sebanyak 1,100% daripada RM1.2 bilion pada tahun 2007 kepada RM14.4 bilion pada tahun 2017 berbanding dengan kenaikan nilai aset yang mencatatkan hanya 107%. Manakala, keuntungan FELDA jatuh sebanyak 590% dalam tempoh yang sama. Ini menunjukkan bahawa pinjaman hutang tidak menambah nilai kepada FELDA. Sebaliknya, pinjaman yang dibuat oleh FELDA memberikan impak yang buruk kepada kedudukan kewangan FELDA.

14. Menyedari hal ini, Kerajaan Pakatan Harapan mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan FELDA dari kemelut yang berterusan. Sebagai sebuah kerajaan yang peduli peneroka, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk menjalankan kajian holistik tentang kedudukan keseluruhan FELDA dan merangka hala tuju masa depan FELDA.

15. Usaha ini bermula dengan pembentukan satu pasukan khas di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bersama pengurusan baru FELDA dan firma profesional. Pasukan ini memberi fokus kepada penilaian semula kedudukan kewangan, pelaksanaan kajian audit forensik dan pembentukan hala tuju baru FELDA.

16. Dapatan audit forensik menunjukkan kerugian atau penjejasan nilai aset (impairment) berjumlah RM2.2 bilion bagi lapan transaksi urus niaga yang disiasat, iaitu 50% daripada nilai pelaburan asal. Audit forensik juga mendedahkan kepincangan tadbir urus dan kegagalan kawalan dalaman.

17. Audit forensik mendapati konflik kepentingan dalam pengurusan amat ketara apabila Tan Sri Mohd Isa Dato’ Haji Abdul Samad yang selepas ini dikenali sebagai FO1 memegang jawatan Pengerusi dalam FELDA, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) dan FGV Holdings Berhad. Pada masa yang sama, FO1 juga memegang jawatan Pengerusi untuk 39 anak syarikat di bawah FELDA dan FGV. Konflik kepentingan bertambah buruk apabila FO1 juga mempunyai kuasa eksekutif sebagai Pengerusi FELDA. Sebagai contoh, pembelian Park City Grand Plaza Kensington di London dibuat oleh FO1 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FELDA dengan harga yang melebihi kadar pasaran dan gagal mengikut dasar pelaburan yang ditetapkan. FO1 membeli aset ini pada harga RM331 juta sedangkan harga pasaran ketika itu hanyalah RM128 juta.

18. Pengurusan FELDA telah membuat laporan polis terhadap mereka yang terlibat dalam salah laku berdasarkan dapatan audit forensik.

19. Dalam usaha untuk meneliti kedudukan sebenar FELDA, Kerajaan amat prihatin dengan kebajikan peneroka termasuk hutang peneroka kepada FELDA. Menurut rekod FELDA, baki hutang peneroka telah mencecah RM7.7 bilion pada tahun 2018 yang merangkumi antara lain, kos penanaman semula, Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil.

20. FELDA menghadapi kesukaran untuk mengutip semula hutang peneroka akibat kelemahan proses pengurusan peneroka, kelewatan dalam proses mengemaskini rekod peneroka dan akaun peneroka yang belum dikunci.

21. Kerajaan juga memandang serius di atas tindakan lebih 20,000 peneroka yang merampas kebun dan menghantar hasil kepada peraih dan kilang-kilang persendirian bagi mengelak pemotongan hutang kepada FELDA. Tindakan ini menyebabkan FELDA gagal untuk mengutip semula hutang dari peneroka tersebut. Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada peraih dan kilang-kilang persendirian yang membeli hasil daripada peneroka yang merampas kebun.

22. Untuk menggalakkan peneroka menghantar hasil mereka ke kilang-kilang milik FGV, FELDA dengan kerjasama Koperasi Permodalan FELDA (KPF) telah pun memperkenalkan skim pembayaran tunai dalam projek perintis di FELDA Wilayah Jengka dan akan dikembangkan kepada wilayah-wilayah di seluruh negara.

23. Pada ketika yang sama, Kerajaan mengambil serius di atas aduan peneroka-peneroka berhubung kelemahan pengurusan ladang oleh FELDA Technoplant Sdn Bhd (FTP) yang menyebabkan penjanaan hasil yang tidak optimum. FELDA bersedia untuk melihat kaedah-kaedah penambahbaikan termasuk semakan operasi (operational review). FELDA juga sedang dalam proses menggabungkan FTP dengan Jabatan Perladangan dan Jabatan Hal Ehwal Tanam Semula bagi tujuan meningkatkan keberkesanan pengurusan, pengurangan kos, mengoptimum produktiviti dan memaksimum hasil kebun peneroka.

24. FELDA turut mendengar rintihan peneroka-peneroka berhubung isu yang berkaitan penyata hutang peneroka. FELDA komited untuk memastikan integriti penyata hutang peneroka melalui proses penambahbaikan penyata tersebut.

HALA TUJU

25. Kelestarian FELDA amat penting bagi menjamin masa depan peneroka. Langkah pemulihan FELDA harus berteraskan usaha-usaha yang lebih gigih dan progresif demi menjamin industri perladangan yang mampan dan melahirkan generasi baru FELDA yang mandiri, kreatif dan inovatif yang berupaya mencipta rangkaian nilai ekonomi negara.

26. Pelan transformasi dan hala tuju FELDA akan memberikan tumpuan kepada penambahbaikan tadbir urus, penstrukturan dan pengukuhan kewangan dan operasi.

Penambahbaikan Tadbir Urus Korporat

27. Tadbir urus korporat yang berasaskan ketelusan dan akauntabiliti begitu penting untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan peneroka serta mengukuhkan kedudukan FELDA. Langkah-langkah yang telah dan sedang diambil adalah:

i. Melantik kepimpinan baharu FELDA yang terdiri daripada golongan profesional, berwibawa dan berintegriti.

ii. Menyusun semula struktur korporat dan pengurusan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan.

iii. Memperkenalkan sistem semak dan imbang bagi mencegah dan menghalang penyalahgunaan kuasa dan salah laku rasuah.


Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan Kertas Putih bertajuk Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA) di Dewan Rakyat.

Penstrukturan dan Pengukuhan Kewangan

28. FELDA memerlukan sistem kewangan yang baru dan lestari. Kedudukan kewangan semasa FELDA perlu distruktur semula dengan kadar segera melalui penstrukturan semula pinjaman dengan institusi kewangan dan rasionalisasi aset. Kegagalan menstrukturkan semula pinjaman FELDA akan mendedahkan FELDA kepada pembayaran pinjaman dan kadar faedah berjumlah RM2.5 bilion untuk tahun 2019. Pada tahun 2018, FELDA terpaksa melunaskan RM1.4 bilion bayaran pinjaman dan kadar faedah kepada institusi kewangan.

29. Untuk mendukung usaha FELDA, Kerajaan bersetuju memberi Jaminan Kerajaan (Government Guarantee) bagi membolehkan FELDA menstrukturkan semula pinjaman dengan institusi kewangan.

30. FELDA kini di dalam proses mengenalpasti aset-aset tidak strategik yang berpotensi untuk dicairkan bagi menjana aliran tunai pada nilai yang terbaik.

Tuan Yang di-Pertua,

Penstrukturan dan Pengukuhan Operasi

31. FELDA akan memperkenalkan model baharu pengurusan tanah peneroka melalui sewaan tanah untuk satu tempoh jangka panjang yang munasabah. Model ini akan menyelesaikan isu demografi peneroka dan ketiadaan ekonomi bidangan (economies of scale). Pengenalan model baharu ini akan membolehkan tanah peneroka-peneroka digabungkan dan diusahakan secara cekap, berskala besar dengan ekonomi bidangan yang boleh mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti.

32. FELDA bertekad untuk melahirkan peneroka baru yang mahir dan inovatif bagi meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pertanian dan ternakan yang menggunakan teknologi baharu seperti ‘smart farming’ dan ‘precision agriculture’. Usaha ini akan membantu peneroka untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil sawit. Sebaliknya, peneroka mampu menjana pendapatan baru yang bernilai tinggi melalui hasil tuaian dalam tempoh yang singkat. Bagi melaksanakan gagasan baru ini, Kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah RM1 bilion untuk tempoh 4 tahun.

33. Demi meringankan bebanan hutang peneroka, skim pengurusan aset canggih (SPAC) akan diperkenalkan bagi memberi bantuan yang lebih fleksibel menggantikan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil. Melalui skim baharu ini, peneroka akan menerima pinjaman yang bersesuaian berdasarkan pendapatan mereka. Cadangan skim baharu ini sedang diteliti secara mendalam termasuk libat urus dengan peneroka- peneroka. Sementara proses ini sedang berjalan, FELDA akan meneruskan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil mengikut kadar sedia ada. Bagi tahun 2019, Kerajaan telah meluluskan sejumlah RM480 juta untuk tujuan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil.

Tuan Yang di-Pertua,

34. Untuk membiayai Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil, FELDA terpaksa menanggung kos kewangan yang besar melalui pinjaman dari institusi kewangan yang mengenakan kadar faedah di antara 4% hingga 6%. Kerajaan lama memindahkan kos ini kepada peneroka dengan mengenakan kadar faedah efektif sebanyak 3.8% di atas Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil. Kerajaan Pakatan Harapan telah berjanji untuk menghapuskan hutang tidak wajar bagi meringankan bebanan kewangan peneroka.

35. Merasai denyutan nadi peneroka, Kerajaan bersetuju untuk menghapuskan kadar faedah di atas Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil yang dibebankan kepada peneroka. Bantuan Kerajaan ini dianggarkan berjumlah RM2 bilion.

36. Kerajaan juga amat prihatin terhadap masalah perumahan generasi kedua FELDA (Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF)) yang terbengkalai sekian lama tanpa pembelaan daripada Kerajaan lama. Sebagai sebuah Kerajaan yang peduli generasi baru FELDA, Kerajaan Pakatan Harapan bertekad untuk menyiapkan 4,794 unit rumah yang tahap kemajuannya 70% dan ke atas. Untuk tujuan ini, Kerajaan meluluskan sebanyak RM250 juta bagi tahun 2019.

37. Sukacita saya mengumumkan bahawa secara keseluruhannya, Kerajaan telah bersetuju untuk memberi bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion berbentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif di atas. Sehubungan dengan ini, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri yang telah mengambil peduli tentang masalah peneroka FELDA dan masa depan FELDA.


Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan Kertas Putih bertajuk Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA) di Dewan Rakyat.

PENUTUP

38. Saya juga ingin menzahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP), Kami Anak FELDA (KAF), Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), Koperasi Permodalan FELDA (KPF), Gerakan Persatuan Wanita (GPW), Pertubuhan Suara Generasi Ke-2 FELDA (SGK2F) dan Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) yang secara aktif memberikan pandangan, teguran dan nasihat dalam program libat urus dengan Kementerian dan juga pengurusan FELDA. Saya berharap usaha Kerajaan ini akan mendapat sokongan dan dukungan daripada peneroka-peneroka FELDA untuk mengembalikan FELDA sebagai sebuah agensi yang mampu mengangkat martabat peneroka FELDA dan menjamin kelestarian FELDA.

39. Saya yakin FELDA mampu bangkit semula. Dengan model baharu, FELDA akan menyuntik tenaga baru dan mengoptimumkan potensi untuk maju dan memodenkan industri pertanian.

40. Wahai peneroka FELDA, Kerajaan Pakatan Harapan mempunyai keyakinan kepada kalian. Sama- samalah kita bangkit, bersatu dan maju bersama demi kegemilangan FELDA, rakyat dan negara.

Tuan Yang di-Pertua,

saya mohon mencadangkan.

2068 dibaca
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan Kertas Putih bertajuk Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA) di Dewan Rakyat. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Berita Harian X