Rabu, 10 April 2019 | 8:13am
Azmin akan membentangkan Kertas Putih FELDA selepas sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Azmin bentang Kertas Putih FELDA di Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan membentangkan Kertas Putih FELDA selepas sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kertas itu dibentangkan berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi itu yang melebihi RM8 bilion.

Kertas Putih dengan tajuk Ke Arah Kelestarian FELDA itu antara lain mengemukakan usaha kerajaan melaksanakan pelan pemulihan jangka pendek, sederhana dan panjang ke arah kelestarian FELDA seperti yang dibentangkan dalam Kertas Perintah Bil 6 Tahun 2019.

Dalam cadangan itu, dinyatakan Kertas Putih itu dibuat kerana Dewan Rakyat menyedari perlu diberikan penjelasan mengenai isu yang dihadapi FELDA serta pelan pemulihan bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan memastikan kebajikan peneroka terus dibela oleh Kerajaan.

Dalam masa yang sama, Dewan Rakyat mengambil maklum cabaran dan pemasalahan peneroka, hasil penemuan audit forensik ke atas lapan pelaburan yang dilaksanakan oleh FELDA dan anak syarikat serta prestasi kewangan FELDA, termasuk implikasi perjanjian pajakan tanah; pinjaman kepada peneroka dan pulangan pelaburan.

“Dewan Rakyat perlu meluluskan dan merestui usaha Kerajaan. Dewan yang mulia ini menyeru agar semua pihak bersama-sama menyokong Kerajaan dalam menjayakan usaha ini,” katanya.

Sebelum ini, laporan menyebut tiga isu utama yang menyebabkan FELDA menanggung hutang dan kerugian tinggi dijangka dibangkitkan melalui Kertas Putih FELDA.

Ia meliputi kegagalan tadbir urus serius oleh pengurusan terdahulu, kemerosotan mendadak kedudukan tunai dan isu membelenggu peneroka.

Penstrukturan semula pinjaman FELDA dan anak syarikatnya juga menjadi satu daripada hala tuju strategik pemulihan agensi itu yang diberi tumpuan dalam laporan interim Kertas Putih.

Yang turut dijangka disebut ialah kegagalan FELDA mengurus keuntungan hasil penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd atau kini FGV Holdings Berhad (FGV) pada 2012, sehingga terpaksa menanggung hutang besar dengan institusi kewangan.

1310 dibaca
Berita Harian X