Selasa, 9 April 2019 | 7:00pm
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) bersama pembeli meninjau projek perumahan PR1MA yang terbengkalai di Bandar Ekar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau. - Foto Saifullizan Tamadi.

Tiada lagi projek PR1MA terbengkalai

SEREMBAN: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengesahkan tiada projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) terbengkalai setakat ini.

Beliau berkata, sebelum ini terdapat projek di Bandar Ekar, Rantau di sini yang terbengkalai selama tiga bulan, namun diteruskan semula dan dijangka siap pada Mei 2020.

“Tetapi projek terbengkalai setakat ini hanya babitkan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Chembong, Rembau kerana kontraktor menarik diri.

“Projek itu baru siap 10 peratus dan kini kementerian dalam proses mengenal pasti kontraktor baharu sebelum meneruskannya semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di bangunan baharu Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di Forest Heights di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong dan Yang Dipertua MPS, Datuk Zazali Salehuddin.

Baru-baru ini Zuraida memaklumkan pembinaan PR1MA di Bandar Ekar yang sepatutnya siap 31 Januari lalu, akan diteruskan dan dijangka siap Mei 2020.

Projek rumah bernilai RM235,000 itu akan diteruskan oleh kontraktor sama dan akan dipantau rapi kementerian itu.

Sementara itu mengenai 14 projek hotel yang terbengkalai di Port Dickson sejak beberapa tahun lalu, beliau sudah meminta EXCO kerajaan negeri mewujudkan jawatankuasa khas.

Katanya, jawatankuasa itu akan meneliti dan menyemak semua projek itu terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Bangunan terbengkalai itu mungkin akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan baharu seperti yang dibuat di Highland Towers,” katanya.

Berita Harian X