Selasa, 9 April 2019 | 3:33pm
DATUK Salahuddin Ayub membuat lawatan kerja di kilang Etika Diaries Sdn Bhd di Taman Perindustrian Meru, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

Kerajaan giatkan usaha tingkat pengeluaran susu segar negara

KLANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kini giat menjalankan pelbagai usaha untuk memastikan Kadar Sara Diri (SSL) untuk pengeluaran susu segar negara mencapai sasaran 100 peratus menjelang lima tahun lagi.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, ia termasuk kesediaan kementerian itu menjadi pemudahcara bagi pelabur asing masuk ke negara ini dan terbabit dalam industri tenusu negara.

Katanya, perkara itu sudah dibincangkan di peringkat Kabinet selain pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, termasuk menggubal dasar tertentu bagi menggalakkan ramai pemain antarabangsa datang melabur di negara ini antaranya dengan mengurangkan karenah birokrasi selain pemberian pelbagai insentif seperti pengecualian cukai.

“Dasar kerajaan itu perlu jelas membabitkan kemasukan pelaburan asing ke negara tetapi dalam pada masa sama, memastikan syarikat tempatan juga terbabit dalam industri itu supaya berlaku perpindahan teknologi dalam jangka masa panjang,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di kilang Etika Diaries Sdn Bhd di Taman Perindustrian Meru, di sini, hari ini.

Turut hadir, Sim Tze Tzin, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dan Ketua Pengarah Eksekutif Etika Holdings - Malaysia, Singapura dan Brunei, Khalid Alvi.

Salahuddin berkata, ketika ini kementerian itu juga sudah mengadakan kerjasama dengan pemain industri seperti Etika Dairies Sdn Bhd yang mengeluarkan susu segar jenama Goodday, F&N, Farm Fresh dan Nestle dalam usaha membantu pengusaha lain turut serta meningkatkan pengeluaran susu segar negara.

“SSL susu segar masih di tahap 58 peratus, tetapi atas kepesatan dan perkembangan industri tenusu yang semakin rancak, kerajaan yakin dalam tempoh lima tahun boleh sampai 100 peratus.

“Ada pelbagai usaha yang sedang dirancang oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk memberi apa juga galakan supaya pemain industri meningkatkan pengeluaran,” katanya.

Salahuddin berkata, menyedari negara masih jauh ketinggalan dalam SSL membabitkan hasil tenusu seperti mentega, yogurt dan keju, kerajaan juga akan memberi perhatian terhadap sektor berkenaan termasuk mengadakan kerjasama pintar dengan pemain utama dalam industri itu.

Bagaimanapun, katanya, sukar untuk kementerian itu menetapkan sasaran untuk penghasilan hasil tenusu tempatan berikutan ketika ini ia pada kadar 4 peratus sahaja.

“Mungkin akan adakan ‘smart partnership’ dengan pemain yang sudah terkenal seperti Goodday ini, Nestle, F&N, untuk kita adakan kerjasama yang komprehensif supaya kita dapat lahirkan usahawan tempatan yang aktif dalam sektor hasil tenusu.

“Kalau kita boleh tingkatkan pengeluaran susu segar, kita yakin boleh dapat pada tahap 100 peratus, saya yakin ia dapat meningkatkan dari segi pengeluaran hasil tenusu,” katanya.

Salahuddin berkata, antara kekangan pengusaha tempatan menghasilkan susu segar termasuk soal modal dan kepakaran dan untuk itu kementeriannya bersedia membantu berikutan pengeluaran produk berkenaan memerlukan kos yang tinggi.

Katanya, ketika ini, kementerian sudah memperkenalkan sistem perkongsian kos untuk industri tenusu dengan pemberian lembu yang sebahagian kosnya ditanggung kerajaan.

Pada masa sama, Salahuddin berkata, kementeriannya juga akan mengesyorkan mana-mana pengusaha yang mahu mengembangkan perusahaan susu segar supaya memperoleh bantuan kewangan daripada AgroBank.

Selain itu, katanya, pihaknya sudah memasukkan dalam hala tuju kementerian untuk mempertingkatkan penghasilan tanaman untuk makanan ternakan yang bukan saja antara usaha kementerian bagi meningkatkan SSL susu segar, malah ia mampu mengurangkan harga produk ternakan pada masa depan.

Berita Harian X