Sabtu, 6 April 2019 | 5:19pm
NURUL Izzah Anwar ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Rakyat Permatang Pauh, di Padang Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

Reformasi struktur dorong Nurul Izzah kembali sertai PAC

PERMATANG PAUH: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, memaklumkan keputusan kembali menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dibuat berdasarkan dua faktor utama.

Beliau berkata, ia membabitkan reformasi struktur serta keseimbangan pengagihan kuasa bagi mewujudkan elemen semak dan imbang yang lebih berkesan lagi menyeluruh menerusi kepemimpinan kerajaan dan pembangkang.

“Keputusan kembali menganggotai PAC dibuat selepas berbincang dengan Ketua Whip kerajaan, Datuk Johari Abdul dan mendapat kelulusan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

“Struktur jawatankuasa PAC yang berperanan untuk membolehkan semak imbang berlangsung, adalah amat penting buat kepentingan negara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Rakyat di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Pembangunan Desa, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dr Afif Bahardin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin.

Sebelum ini, Nurul Izzah dilapor melepaskan jawatan sebagai ahli PAC kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan pemilihan kepemimpinan jawatankuasa itu, pada 22 Mac lalu.

Ia selepas Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Nurul Izzah turut menafikan dakwaan beliau membuat pusingan U apabila kembali menganggotai PAC, sebaliknya menegaskan sedia berkhidmat sekiranya jawatankuasa itu memiliki struktur yang jelas.

“Sudah tentu saya sedia membantu melunaskan proses ini selagi ada struktur jelas. Pada saya, yang penting adalah untuk pastikan adanya semak imbang.

“Dewan Rakyat adalah badan yang akan memastikan bidang ‘legislative’ (penggubalan undang-undang) dapat berfungsi dengan baik. Akhirnya, apa-apa pun yang mahu dilakukan, ia perlulah berteraskan elemen berkhidmat kepada rakyat,” katanya

Dalam perkembangan lain, Nurul Izzah bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang diumumkan Dr Mahathir, semalam.

“Sangat penting untuk kita mengadakan perbincangan menyeluruh, khususnya Malaysia adalah negara majmuk. Ia perlu dibincangkan ikut etika sepatutnya, turutan dan keperluan.

“Saya sentiasa berpandangan positif tetapi kita juga perlu jelas dengan aspek penentu, selain strukturnya perlu diutamakan,” katanya.

Berita Harian X