Sabtu, 6 April 2019 | 1:22pm

Singapura tarik prosedur ILS, Malaysia gantung RA

PUTRAJAYA: Singapura bersetuju menarik balik prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) untuk Lapangan Terbang Seletar, manakala Malaysia menggantung penguatkuasaan Kawasan Larangan (RA) kekal ruang udara Pasir Gudang, Johor.

Kedua-dua perkara itu dipersetujui Malaysia dan Singapura atas semangat kerjasama dua hala.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan rakan sejawatnya dari Singapura, Khaw Boon Wan dalam satu kenyataan bersama di sini hari ini, berkata persetujuan itu dilaksanakan pihak berkuasa penerbangan kedua-dua negara pada jam 11.59 malam tadi.

“Dengan perjanjian ini, kedua-dua Menteri Pengangkutan mengalu-alukan penerbangan FlyFirefly Sdn Bhd ke Lapangan Terbang Seletar berkuat kuasa bulan ini,” katanya.

Kenyataan bersama itu menjelaskan, kedua-dua menteri turut menyatakan jawatankuasa peringkat tinggi sudah ditubuhkan untuk menyemak semula Surat Operasi Perjanjian di antara Pusat Kawalan Kawasan Kuala Lumpur dan Singapura berhubung Ketibaan, Pelepasan dan Lintas Udara Singapura 1974.

“Kedua-dua Menteri Pengangkutan mengalu-alukan langkah positif ini dan berharap dapat terus memperkukuh kerjasama dua hala,” katanya.

Pertikaian berhubung ruang udara itu tercetus pada 23 November tahun lalu apabila syarikat penerbangan Malaysia, Firefly berkata ia akan menggantung semua penerbangannya ke Singapura bermula 1 Disember, tarikh yang ia sepatutnya memindahkan operasi dari Lapangan Terbang Changi ke Lapangan Terbang Seletar.

Sebelum ini, media turut melaporkan pelaksanaan ILS di Lapangan Terbang Seletar, Singapura membabitkan pendaratan pesawat di lapangan terbang itu menggunakan ruang udara Malaysia di Pasir Gudang, Johor, yang dibantah Malaysia.

Singapura dan Malaysia sebelum ini saling menuding jari berhubung apa yang setiap pihak tegaskan sebagai perluasan had pelabuhan yang dianggap mencabuli kedaulatan dan undang-undang antarabangsa.

1583 dibaca
Berita Harian X