Jumaat, 5 April 2019 | 4:29pm
TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik merasmikan Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Pulau Pinang 2019 di SPICE Arena, hari ini. - Foto Mikail Ong

Kurangkan kesesakan CIQ, tarik pelancong Singapura

GEORGETOWN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang merangka langkah jangka pendek bagi mengurangkan kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru, Johor.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata kesesakan di CIQ berkenaan menyebabkan penurunan hampir dua juta pelancong dari Singapura ke Malaysia pada 2018 berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, seramai 12 juta pelancong Singapura memasuki negara ini pada 2017, namun angka itu menurun kepada hanya 10.2 juta pada 2018.

“CIQ terutamanya digunakan untuk kargo namun disebabkan oleh syarat yang dikenakan oleh KDN bahawa visa ketibaan (VOA) perlu diproses di CIQ, ini sebabnya kesesakan berlaku di sana.

“Pasukan kita bersama dengan wakil dari KDN sudah melawat di sana baru-baru ini, dan kita mempunyai beberapa penyelesaian untuk strategi jangka pendek mengenai bagaimana untuk mengurangkan kesesakan,” katanya tanpa mengulas lanjut strategi yang dicadangkan itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Pulau Pinang 2019 di SPICE Arena, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang.

Mengulas lanjut, Muhammad Bakhtiar berkata, negara mengalami penurunan sebanyak 0.4 peratus dalam pertumbuhan pelancongan tahun lalu, dengan Vietnam kini memonopoli sektor itu di Asia Tenggara.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia mestilah berdaya tahan untuk terus mempromosikan industri pelancongan tempatan dan memberi daya saing kepada negara lain, khususnya di peringkat Asia.

“Sebanyak 91 peratus pelancong yang mengunjungi negara kita adalah dari Asia, jadi kita mesti kekal berdaya tahan dan terus mempromosikan pelancongan kita,” katanya.

225 dibaca
Berita Harian X