Rabu, 3 April 2019 | 9:37am
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Syarafiq Abd Samad

Ikuti Lintas Langsung Kes SRC Najib

5.40 petang:

Datuk Seri Najib Razak meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

5.36 petang:

Datuk Seri Najib Razak keluar dari bilik bicara selepas selesai perbicaraan hari pertama kes berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC International) berjumlah RM42 juta.

5.00 petang:

Saksi pertama sahkan dokumen asal pendaftaran syarikat SRC International Sdn Bhd dengan SSM.

Info

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tommy Thomas dalam pernyataan pembukaan, berkata pendakwaan akan membuktikan Datuk Seri Najib Razak pada 10 Februari 2015 memasukkan RM10 juta iaitu wang daripada hasil aktiviti haram daripada akaun peribadinya ke akaun peribadi yang lain.

Tommy berkata, pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib mengeluarkan sejumlah 15 cek peribadi daripada akaun beliau, berjumlah RM10,776,514.

Katanya, akan dibuktikan juga bahawa pada Disember 2014, kredit kad Najib dicaj sebanyak AS$130,625 bagi perbelanjaan di butik Chanel di Honolulu Amerika Syarikat.

Turut akan dibuktikan, bahawa cek peribadi yang digunakan itu antara lain, bagi pembayaran kerja pengubahsuaian rumah beliau di Langgak Duta dan di Pekan, Pahang serta kepada parti politik komponen BN.

3.28 petang:

Pihak pendakwaan memanggil saksi pertama, Muhamad Akmaludin Abdullah, 35, yang juga Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

3.24 petang:

Pendakwaan akan membuktikan wang yang dimasukkan dalam akaun peribadi Najib digunakan untuk pengubahsuaian rumah dan pembelian beg mewah serta untuk parti komponen Barisan Nasional. - Tommy Thomas

3.23 petang:

Peguam Negara, Tommy Thomas, memaklumkan mahkamah pihak pendakwaan bersedia memanggil saksi pertama.

3.10 petang:

Najib kekal dengan pengakuan tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan.

3.04 petang:

Pertuduhan dibaca terhadap Datuk Seri Najib Razak.

2.53 petang:

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan perbicaraan bermula hari ini.

2.52 petang:

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh lain untuk mendengar usul berkenaan.

2.20 petang:

Peguam Negara, Tommy Thomas menegaskan bahawa tindakan pihak pembelaan memfailkan notis usul pada saat akhir adalah satu usaha untuk melengahkan perbicaraan.

2.16 petang:

Peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali pihaknya sudah memfailkan notis untuk menangguhkan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

2.15 petang:

PEGUAM Negara, Tommy Thomas. - Foto Aizuddin Saad

Peguam Negara, Tommy Thomas, memulakan prosiding perbicaraan dengan membacakan nama barisan pihak pendakwaan dan peguam pembelaan.

Wanita UMNO Petaling Jaya, antara yang hadir memberikan sokongan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta.

2.09 petang:

Datuk Seri Najib Razak sudah berada di kandang tertuduh, prosiding belum bermula.

1.59 tengah hari:

DATUK Seri Najib Razak tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, tengah hari tadi.

Datuk Seri Najib Razak tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta bagi menghadiri perbicaraan kes, tujuh pertuduhan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC International) membabitkan bekas perdana menteri itu yang bermula hari ini.

1:40 tengah hari:

Polis mula mengetatkan kawalan di lobi dan perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mengawal keadaan di situ apabila semakin ramai pengamal media dan segelintir penyokong Datuk Seri Najib Razak hadir di lokasi.

Lebih 30 anggota polis berpakaian seragam serta preman memakai ves POLIS dibantu pengawal keselamatan kelihatan menjalankan tugas kawalan dan pemantauan.

Setakat jam 1.30 petang, keadaan di kompleks mahkamah ini masih tenang dan dalam keadaan terkawal.

Najib dijangka sampai di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 2 petang ini.

12.30 tengah hari

Wakil media mula memenuhi perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang akan menyaksikan permulaan perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jam 2 petang ini.

Difahamkan, 100 keping pas disediakan untuk pengamal media tempatan dan antarabangsa yang akan membuat liputan perbicaraan kes yang dihadapi Najib membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Seorang pegawai yang menguruskan pendaftaran pihak media memaklumkan, 30 keping pas berwarna merah jambu disediakan bagi wartawan tempatan dan antarabangsa yang mengikuti prosiding di dalam mahkamah terbuka.

Selain itu, 20 pas berwarna oren untuk prosiding di bilik tayangan video dan 50 pas berwarna biru akan diedarkan kepada jurufoto dan jurukamera yang ditempatkan di lobi Kompleks Mahkamah.

Seramai 16 wartawan media tempatan dibenarkan masuk ke dalam mahkamah, antaranya BERNAMA, RTM, TV3, Astro Awani dan NSTP selain 14 wartawan dari media antarabangsa terdiri daripada AFP, AP, CNN, BBC dan REUTERS.

Info:

Bagi pertuduhan pertama, Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Advisor Emeritus SRC International dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC International berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap RM27 juta.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC International berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC International berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap RM10 juta di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.

Bagi pertuduhan keempat, Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu perdana menteri dan menteri kewangan, menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

11.30 pagi:

KAKITANGAN mahkamah melakukan persiapan dengan memasang tali penghadang pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

11.02 pagi:

SEBAHAGIAN pengamal media yang menunggu perbicaraan kes Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Info:

Tiga saksi awal terdiri daripada pegawai bank dan pegawai kerajaan dijangka akan memberikan keterangan pada perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak hari ini membabitkan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

Difahamkan, mereka adalah antara 63 saksi yang disenaraikan bagi pihak pendakwaan dalam perbicaraan bersabit tujuh tuduhan terhadap Najib berhubung dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Hari pertama perbicaraan akan menyaksikan Peguam Negara, Tommy Thomas, yang mengetuai pendakwaan membacakan pernyataan pembukaan sebelum Mahkamah Tinggi mula mendengar keterangan saksi.

Mahkamah Tinggi sebelum ini diberitahu bahawa 35 jilid dokumen sudah diserahkan pihak pendakwaan kepada peguam bela dan sebahagian daripada dokumen membabitkan 3,000 muka surat adalah terdiri daripada Minit Mesyuarat SRC International dan Minit Mesyuarat Kabinet.

Perbicaraan kes Najib ini sebenarnya ditetapkan 12 Februari hingga 29 Mac lalu, bagaimanapun ditangguhkan dua kali berikutan mahkamah membenarkan penangguhan perbicaraan selepas Najib memfailkan rayuan melalui empat permohonan interlokutori di Mahkamah Rayuan.

Perbicaraan hari ini menyusuli pendakwaan terhadap Najib pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018 pula, Najib dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga lagi tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah (RM42 juta) dan dari dana sama (SRC International).

Pendakwaan terhadap Najib adalah mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

9.45 pagi:

Sekitar kawasan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur masih lengang.

Info

KUALA LUMPUR: Selepas ditangguhkan sebelum ini, perbicaraan kes jenayah yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd (SRC) akan bermula di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Ia dijadualkan bermula jam 2.30 petang ini di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan akan didahului dengan ucapan pembukaan kes oleh pihak pendakwaan.

Najib, 65, yang mengaku tidak bersalah akan dibicarakan atas tujuh pertuduhan merangkumi kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

Ia sebahagian daripada 42 pertuduhan dihadapi Najib yang sudah enam kali dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan yang sama tetapi dana berbeza.

Berita Harian X