Selasa, 2 April 2019 | 6:26pm
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Wong Kah Woh. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

PAC bentang laporan 'kehilangan' GST minggu depan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dijangka membentangkan laporan siasatan tuntutan tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion di Parlimen, minggu depan.

Timbalan Pengerusinya, Wong Kah Woh, berkata siasatan kini di peringkat akhir dan akan disiapkan selepas mendapat maklum balas Jabatan Audit Negara dalam tempoh terdekat.

“Siasatan berhubung tunggakan bayaran balik GST sudah masuk ke fasa akhir dan kami mahu ia disiapkan minggu depan.

“PAC akan bertemu Jabatan Audit Negara untuk melihat sama ada wujud keperluan untuk menambah beberapa perkara dalam laporan siasatan itu dan jika tiada pindaan lagi, kami akan bentangkan minggu depan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas mengenai perkembangan terkini siasatan PAC terhadap tuntutan tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion dan bila ia akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) GST (Pemansuhan) 2018 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada 8 Ogos lalu, mendedahkan pembayaran tuntutan kredit cukai input berkenaan tertunggak, membabitkan nilai RM19.4 bilion sejak pelaksanaannya pada April 2015 sehingga 31 Mei lalu.

Beliau dilaporkan berkata, rekod JKDM mengesahkan RM9.2 bilion atau 47 peratus daripada nilai keseluruhan tunggakan itu ialah pada tahun ini; RM6.8 bilion (35 peratus) pada 2017; RM2.8 bilion (15 peratus) pada 2016 dan RM600 juta (tiga peratus) pada 2015.

Pada 18 Ogos lalu, Guan Eng menerusi kenyataan mendesak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjawab tiga soalan penting berhubung kekurangan RM19.25 bilion dalam akaun amanah GST atau Tabung Bayaran Balik GST.

Kekurangan itu mengakibatkan 121,429 syarikat dan individu tidak menerima bayaran balik GST sejak 2015 yang dianggarkan berjumlah RM19.4 bilion sehingga 31 Mei 2018.

Siasatan PAC sejak September tahun lalu menyaksikan beberapa individu dipanggil dalam beberapa siri prosiding, antaranya Najib; Guan Eng; bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

288 dibaca
Berita Harian X