Selasa, 2 April 2019 | 10:43am
DATUK Paddy Abd Halim.

Paddy Abd Halim dilantik Ketua Pengarah Kastam baharu

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/GST) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Paddy Abd Halim, dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam baharu berkuat kuasa semalam.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri T Subromaniam yang menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 9 Mac lalu.

“(Datuk) Paddy memulakan kerjaya sebagai Penguasa Kastam di JKDM Perak pada 1983. Beliau pernah bertugas di beberapa cawangan dan bahagian di JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan ibu pejabat sebelum dilantik memegang jawatan Pengarah, Bahagian Pengurusan Pematuhan pada 2011.

“Pada 15 Julai 2016, beliau dinaikkan pangkat ke Gred Utama B, sebagai Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) dan seterusnya pada 1 Julai 2017, beliau menggalas jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/GST),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata Kementerian Kewangan turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Subromaniam yang sudah memberi perkhidmatan cemerlang sebagai Ketua Pengarah Kastam terutama memimpin JKDM ke arah pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan jayanya.

1122 dibaca
Berita Harian X