Isnin, 1 April 2019 | 6:51pm
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kita cari Pengerusi PAC yang bersih - Hanipa

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu kerajaan komited melaksanakan janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi menetapkan kedudukan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam kalangan wakil rakyat pembangkang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin, berkata untuk itu, kerajaan akan memastikan pelantikan Pengerusi PAC dibuat dalam kalangan wakil rakyat pembangkang yang ‘bersih’.

Katanya, sebelum ini, komitmen kerajaan dalam melantik wakil pembangkang mengisi jawatan itu dibuktikan dengan pelantikan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika berada dalam Barisan Nasional (BN).

"Kita (kerajaan) sudah laksanakan manifesto dengan melantik wakil rakyat pembangkang sebagai Pengerusi PAC, namun (tidak kekal) apabila (Ronald) menjadi Pengerusi PAC, beliau tidak tahan dengan pembangkang (BN) dan menyertai kita.

“Kita akan cari yang betul-betul bersih dalam kalangan wakil rakyat pembangkang untuk dilantik sebagai Pengerusi PAC,” katanya ketika menggulung menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Kedudukan Ronald sebagai Pengerusi PAC menjadi polemik apabila beliau bertukar parti dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Pertikaian itu membabitkan pembangkang dan penyokong kerajaan kerana ia bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan pada PRU-14.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan pihaknya sudah mengemukakan calon menggantikan Ronald untuk perhatian Speaker Dewan Rakyat.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO sebelum ini memaklumkan BN meletakkan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-UMNO Parit Sulong) bagi mengisi jawatan jika ia kosongkan.

Berita Harian X