Ahad, 31 March 2019 | 7:02pm
RINA ketika lawatan pada Majlis Perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) di Midtown Perda. - Foto Bernama

Dana bantu usahawan wanita desa dilancar

TASEK GELUGOR: Dana Harapan Strategi Realisasi Keusahawanan (HERS FUND) bagi membantu usahawan wanita di luar bandar dengan peruntukan RM20 juta dilancarkan hari ini.

Ia dilancarkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun sempena majlis perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) Zon Utara 1 di Midtown Perda di sini.

Rina berkata dana itu dicetuskan atas keprihatinan kementeriannya terhadap usahawan berkenaan, selain mahu memberi bimbingan bagi mengembangkan perniagaan mereka.

“HERS FUND juga akan dilaksanakan berlandaskan konsep ‘mentor-mentee’ untuk memberi bimbingan kepada usahawan wanita desa.

“Sebagai permulaan, lima usahawan wanita berjaya daripada kalangan peserta Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) akan menjadi ‘mentor’ untuk membantu 40 usahawan wanita yang menjadi ‘mentee’ mereka untuk mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa, dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar, dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin.

Sementara itu, Rina berkata, pihaknya mensasarkan nilai jualan sehingga RM40 juta dengan dua juta pengunjung bagi keseluruhan KUD yang diadakan di seluruh negara.

Pulau Pinang adalah negeri pertama menganjurkan KUD, dan akan disusuli Terengganu, Kedah, Sabah, dan yang terakhir di Putrajaya.

“Melalui aktiviti ini diharapkan dapat memperkasakan usahawan dengan ilmu pengetahuan serta mencungkil usahawan yang berpotensi sehingga ke peringkat global, di samping menarik minat orang ramai untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan,” katanya.

131 dibaca
Berita Harian X