Sabtu, 30 March 2019 | 10:07pm
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan ucapan pada Majlis Jamuan Teh Diraja bersama-sama Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

Raja Permaisuri Agong hadiri majlis santapan Pandu Puteri

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghadiri Majlis Santapan Minum Petang anjuran Persatuan Pandu Puteri Malaysia, hari ini.

Tetamu diraja yang turut berangkat ialah Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan isteri Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che’ Puan Khaleeda Bustamam.

Baginda berkenan meluangkan masa lebih dua jam sebelum berangkat pulang pada 7.30 malam.


Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (tengah) berkenan bergambar kenangan bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim (duduk tiga, kiri) dan Yang Mulia Che Puan Khaleeda Bustamam (duduk dua, kiri) selepas berangkat tiba ke Majlis Jamuan Teh Diraja bersama-sama Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia hari ini. Turut serta Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (duduk tiga, kanan) dan bekas Yang Dipertua Pandu Puteri Malaysia Datin Seri Rosmah Mansor (duduk dua, kanan). - Foto BERNAMA

Sementara itu, Tunku Soraya bertitah majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan kepada Raja Permaisuri Agong yang dilantik sebagai penaung persatuan yang baharu 13 Februari lalu.

Titah Tunku Suraya, ia juga untuk mengenang jasa dan sumbangan bekas pemimpin persatuan dan juga ahli persatuan yang banyak membawa kejayaan kepada Pandu Puteri sehingga hari ini.

– BERNAMA

Berita Harian X