Sabtu, 30 March 2019 | 1:01pm
CALON Bebas, Mohd Nor Yassin ketika sesi penyerahan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Calon Bebas mahu bawa pembangunan Islam

SEREMBAN: Seorang calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Mohd Nor Yassin, 67, optimis untuk meraih kemenangan pada pilihan raya kali ini.

Bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan, berkata dia mengakui bertanding untuk meraikan demokrasi di negara ini.

“Kalau dah masuk bertanding mesti nak menang. Saya yakin dapat membawa pembangunan berasaskan Islam di Rantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon PRK Rantau, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini.

PRK Rantau pada 13 April ini secara rasminya akan menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Tiga lagi calon yang disahkan bertanding ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Barisan Nasional), Dr S Streram (Pakatan Harapan) dan R Malar (Bebas).

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi berkenaan selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan SPR Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

832 dibaca
Berita Harian X