Sabtu, 30 March 2019 | 9:04am
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan calon Pakatan Harapan, Dr S Streram menunjukkan pas calon ketika hadir pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sri Sendayan. - Foto Adzlan Sidek

'Hari ini ada pas calon'

REMBAU: "Hari ini ada pas calon".

Demikian seloroh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika memperkenalkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram.

Saifuddin yang dilihat tiba pada jam 8 pagi tadi menyifatkan ‘komplot’ sehingga menyaksikan calon PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dinafikan hak untuk bertanding ialah di luar kebiasaan.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lazimnya mempunyai tiga ‘rukun’ bagi seseorang layak bertanding, iaitu mesti menampilkan calon, mengisi borang pencalonan dan mempunyai penyokong serta pencadang, yang juga pemilihan di kawasan berkenaan.

“Pas (calon) ini bukan rutin, tapi hari itu pegawai SPR lagi lajak (sehingga menafikan Dr Streram memasuki dewan untuk proses penamaan calon).

“Kalau hari itu Dr Streram boleh bertanding, Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) sudah tiada,” katanya disahut sorakan penyokong, di sini, hari ini.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-14, terbatal dan tidak sah.


CALON Pakatan Harapan, Dr S. Streram (tengah) hadir pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sri Sendayan. - Foto Adzlan Sidek

Dr Streram yang sekali lagi diketengahkan sebagai calon DUN Rantau ialah pakar bius dan pemegang Ijazah Sarjana Anestesiologi dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Berbeza dengan suasana di ‘kem’ Barisan Nasional (BN), penyokong PH dilihat mula memenuhi kubu mereka mulai jam 8 pagi, apabila barisan kepemimpinan tingginya mula tiba bagi menzahirkan sokongan kepada Dr Streram.

Saifuddin berkata, PH dan jenteranya akan turun ke segenap pelusuk DUN Rantau bagi meraih sokongan lebih 28,000 pengundi, termasuk merangkumi kawasan kampung dan FELDA.

“Kita akan turun dengan satu tujuan, iaitu untuk mendapatkan sokongan pengundi,” katanya.

Ditanya sama ada penggunaan pembesar suara dan sistem audio menyalahi undang-undang SPR, Saifuddin menjelaskan ia bukan untuk tujuan berkempen, sebaliknya lebih kepada penerangan tatacara berhimpun kepada penyokong.

“Ini bukan ceramah, ini untuk bagi tatacara berhimpun,” katanya.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, semalam dilaporkan berkata antara perkara yang tidak boleh dilakukan semasa hari penamaan calon ialah penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara, termasuk penggunaan kenderaan.

Berita Harian X