Khamis, 28 March 2019 | 3:42pm
KETUA Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Pembangkang sertai semula PAC jika dapat jawatan pengerusi

KUALA LUMPUR: Pembangkang hanya akan menyertai semula Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) jika jawatan Pengerusi PAC diberikan kepada wakil mereka.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu adalah berdasarkan apa yang terkandung dalam janji manifesto Pakatan Harapan sendiri.

Beliau berkata, keputusan protes pembangkang dengan Ahli Parlimennya meletak jawatan sebagai anggota PAC dibuat kerana kerajaan tidak serius terhadap komitmen manifestonya.

“Nampak kerajaan mahu monopoli dari segi PAC. Wakil kerajaan jadi pengerusi dan timbalan pun daripada wakil mereka. kalau mereka memilih cara itu mahu buat macam mana.

“Hari ini di bawah Malaysia baharu dia mahu menguasai sepenuhnya PAC. Tidak ada maknanya kita menyokong tindakan mereka,” katanya ketika ditemui media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, tanda protes ini bukan saja dizahirkan wakil mereka malah dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan sendiri termasuk mereka yang menjadi anggota PAC.

“Kalau pembangkang jadi Pengerusi PAC, kita akan masuk balik sebab itu yang dijanjinya. Dulu pun sudah buat, ketika (Datuk Seri) Ronald (Kiandee) jadi Pengerusi PAC, tapi sekarang dia sudah menyertai parti kerajaan,” katanya.

Berita Harian X