Khamis, 28 March 2019 | 3:20pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menjawab soalan media di dalam Dewan Rakyat, Parlimen. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Undang-undang khas untuk mobiliti udara

KUALA LUMPUR: Undang-undang khusus akan diwujudkan bagi memenuhi ekosistem baharu negara seiring perkembangan sektor aeroangkasa, dron dan kenderaan tanpa pemandu (UAV).

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata ia juga dilaksana susulan cadangan pengenalan kereta aero atau kereta terbang pertama Malaysia, dengan prototaipnya dijangka mula dipamerkan hujung tahun ini.

“Undang-undang kena diwujudkan dan dirangka. Itu sedang kita mulakan. Sebelum LIMA (Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019) kita sudah berbincang dengan majlis perundangan negara.

“Kita juga bincang dengan dengan MAB (Malaysia Airlines Berhad), CAM (Pengeluar kenderaan ringan Malaysia) dan pihak berkuasa penerbangan awam untuk membolehkan kita merangka satu undang-undang dalam membangunkan industri ini,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, ketika ini sesiapa saja tidak dibenarkan untuk mengendali kereta terbang memandangkan ekosistem atau peraturan bagi membenarkan penggunaannya tidak ada.

“Kalau tiada undang-undang contohnya kalau sesiapa mahu terbang (pesawat mereka) dia kena ambil insurans. Kalau ikut contoh di negara lain mereka boleh buat permohonan, bayar RM10 (kos insurans) dan mereka boleh terbang.

“Undang-undang itu juga membabitkan lesen (pengendali). Tapi ini (cadangan perkenal kereta terbang) dalam jangka masa pendek dan ia bukan untuk penggunaan awam,” katanya.

Beliau mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa teknologi baharu yang akan dibangunkan itu berfokus kepada penggunaan dari segi respon kecemasan, sektor pengangkutan dan penghantaran barang.

Beliau berkata, Malaysia perlu mengubah stigma pemikiran dan menerima teknologi baharu ini sebagai satu yang baik dan bermanfaat buat negara.

“Saya rasa (pemikiran) anak muda Malaysia sudah setapak ke hadapan. Mereka mempunyai kemahiran tinggi untuk mencipta teknologi yang baru kepada negara.

“Prototaip kereta terbang pertama negara juga yang kini sedang dibangunkan di Jepun menggunakan kepakaran anak tempatan,” katanya.

Ditanya pelbagai komen negatif netizen terhadap prototaip kereta terbang yang dipamerkan di LIMA, Redzuan berkata, ia bukan prototaip sebenar yang ingin dipamerkan kerajaan kelak, sebaliknya itu adalah model dibangunkan syarikat swasta.

“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) juga melihat model itu di LIMA dan berpuas hati (dengan konsepnya). Idea membangunkan teknologi kereta aero ini dicetuskan beliau (Dr Mahathir) sendiri,” katanya.

Terdahulu, ketika menggulung usul menjunjung kasih ke atas ucapan Yang di-Pertuan Agong, dewan gamat ketika Mohd Redzuan menjelaskan konsep mobiliti udara termasuk teknologi dron dan kereta terbang.

Beberapa Ahli Pembangkang mengemukakan celahan sinis termasuk Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulung) yang mencadangkan supaya buluh turut digunakan sebagai komponen kereta terbang itu.

Bagaimanapun, Mohd Redzuan meminta Ahli Parlimen berfikir jauh kerana beliau cuba menerangkan hala tuju teknologi mobiliti udara yang semakin berkembang dan boleh memberi peluang kepada usahawan tempatan.

Beliau berkata teknologi mobiliti udara itu dimiliki oleh syarikat anak tempatan yang kini beroperasi di luar Malaysia.

Berita Harian X