Rabu, 27 March 2019 | 8:18pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media Penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Tender prakelayakan dibuka untuk bina hospital kerajaan di Pasir Gudang

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membuka tender prakelayakan bagi membina sebuah hospital kerajaan di kawasan Pasir Gudang, Johor.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata tender itu akan ditutup pada 4 April depan.

“Kami dalam proses menangani perkara ini. (Bagi) Mereka yang mahu terbabit dalam tender ini, kita pada tahap pratender.

“Kita akan melakukan perkara ini dalam rangka kerja dan SOP (Prosedur Operasi Standard) yang sudah ditetapkan bagi mana-mana pembangunan fasiliti di negara kita,” katanya pada sidang media Penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan, di sini, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah wujud keperluan untuk membina sebuah hospital kerajaan di kawasan Pasir Gudang, susulan insiden pencemaran sisa kimia, dan berharap kerajaan menyegerakan pembinaannya.

Sementara itu, pada sidang media sama, Dr Dzulkefly turut mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan yang dianggotai tujuh ahli.

Beliau berkata, majlis itu ditubuhkan kerana kementerian melihat ada keperluan menyediakan platform bagi membolehkan pakar dan tokoh di luar KKM, berkongsi idea dan pandangan serta mengetengahkan isu dan penyelesaian berkaitan sektor kesihatan tanpa menafikan kepakaran sedia ada kementerian itu.

Majlis itu dianggotai bekas Ketua Pengarah Kesihatan dan Pengerusi IMU Group, Tan Sri Abu Bakar Sulaiman sebagai Pengerusi; Ketua Setiausaha Rendah Perkongsian, Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, Tan Sri Jemilah Mahmood; Profesor Ekonomi dan Kajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Tan Sri Kamal Mat Salih; Dekan Fakulti Perubatan UM, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman; Pakar Perunding Pediatrik, Hospital KPJ Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin; Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Gleneagles, Datuk Dr Alex Mathews; dan Pengarah Teknikal Projek Sistem Kesihatan Malaysia, Harvard School of Public Health, Dr Yap Wei Aun.

Dr Dzulkefly berkata, majlis itu akan bermesyuarat sekurang-kurang 12 kali setahun atau berdasarkan keperluan. – BERNAMA

226 dibaca
Berita Harian X