Rabu, 27 March 2019 | 5:58pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Ronald Kiandee selepas masyuarat PAC pada sesi persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Terserah PM tentukan kedudukan saya - Ronald

KUALA LUMPUR: Tidak timbul isu peletakan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana jawatan itu adalah lantikan daripada kerajaan.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, beliau boleh menyerahkan jawatannya itu kepada orang lain jika Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu berbuat demikian.

“Dia tidak berbangkit (letak jawatan) seperti apa Perdana Menteri sebut, saya diganti apabila pengganti sudah dikenal pasti. Saya akur keputusan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui media di Parlimen.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat PAC berkaitan isu Permit Masuk Kenderaan (VEP) membabitkan Kementerian Pengangkutan di bilik mesyuarat di Parlimen.

Dipanggil hari ini ke prosiding berkenaan adalah bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Mengulas dakwaan pembangkang bahawa kedudukan dalam PAC kini tidak adil kerana majoritinya diwakili Ahli Parlimen kerajaan, beliau berkata perkara itu tidak langsung berbangkit.

“Mana soal tak adil? Nesyuarat cuma perlu korum satu campur tiga (1 + 3) . Maksudnya Pengerusi dan tiga ahli (sudah boleh bersidang). Selalu mesyuarat memang tidak penuh korum, hari ini ada enam tujuh orang hadir,” katanya.

Beliau juga berkata, tiada ahli PAC daripada pembangkang hadir dalam prosiding hari ini.

Ditanya kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, bahawa kedudukannya hanya akan diganti selepas semua kes di bawahnya selesai, Ronald berkata kenyataan itu juga tidak bertentangan dengan pendirian Dr Mahathir.

Ketika ditanya mengenai sama ada ahli PAC dari pembangkang sudah menghantar notis meletak jawatan, beliau berkata notis itu sepatutnya dihantar kepada Speaker.

Berita Harian X