Selasa, 26 March 2019 | 6:21pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng ketika ditemui di Bangunan Parlimen. - Foto Hafiz Sohaimi

Kerajaan terpaksa selamatkan projek TRX dan Bandar Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan terpaksa menyelamatkan projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia kerana dana untuk pembangunannya ‘hilang’ berikutan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan terpaksa menyuntik kewangan bagi menyelamatkan dua projek berkenaan masing-masing sebanyak RM2.8 bilion dan RM744 juta.

Katanya, TRX City Sdn Bhd (TRX City) selaku pemaju utama sebelum ini mengesahkan menerima RM3.69 bilion melalui pinjaman daripada kerajaan secara langsung dan tidak langsung bagi tujuan membangunkan TRX dan Bandar Malaysia.

“Seperti semua projek yang gagal dan rugi akibat penyelewengan dan penipuan kerajaan Barisan Nasional (BN), TRX City menghadapi masalah kewangan untuk menyiapkan infrastruktur projek TRX.

“Ini adalah kerana sebahagian besar dana diperoleh hasil pinjaman dan terbitan sukuk untuk projek terbabit diseleweng 1MDB untuk tujuan lain. Sejumlah RM1.61 bilion untuk TRX dan RM1.45 bilion untuk Bandar Malaysia digunakan 1MDB untuk tujuan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, projek TRX berpotensi tinggi dalam mengorak langkah masa depan negara, namun skandal 1MDB menyebabkan pelabur asing menjauhkan diri daripada projek berkenaan dan Malaysia amnya.

“Selepas melakukan proses pemulihan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), kami berjaya memulihkan keyakinan pelabur asing terhadap TRX dan Malaysia. Kini TRX adalah sebuah projek bebas rasuah dan mendapat kepercayaan pelabur dalam serta luar negara.

“Empat institusi bank menyatakan keyakinan mereka dengan usaha dilakukan kerajaan. Mereka yakin dengan usaha yang diambil dan mereka sedia datang melabur dalam TRX dan menyediakan sejumlah RM2.15 bilion kepada syarikat usaha sama membabitkan TRX City dan pemaju pembangunan terkemuka Australia, Lendlease,” katanya.

Terdahulu, sesi penggulungan gamat apabila berlaku pertikaman lidah antara Guan Eng dan beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Datuk Seri Najib Razak (BN-UMNO Pekan).

Ia bermula apabila bekas Perdana Menteri meminta penjelasan berhubung jumlah hutang kerajaan yang meningkat sebanyak RM87.1 bilion kepada RM773.1 bilion berbanding RM686 bilion pada akhir 2017 memetik data rasmi Bank Negara Malaysia.

Guan Eng dalam maklum balasnya berkata jumlah hutang itu disumbangkan oleh hutang syarikat 1MDB namun jawapan itu mengundang kemarahan wakil rakyat pembangkang termasuk Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau) dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-UMNO Pasir Salak).

“Memang licik pentadbiran lama kerana kita tahu 1MDB hutang begitu besar tidak termasuk dalam angka rasmi hutang kerajaan kerana semua dibuat secara ‘off balance sheet’.

“Ia terpaksa dibayar oleh pihak kerajaan sungguhpun ia tidak dipinjam secara langsung oleh kerajaan Malaysia dan bila kita sebagai penjamin, kita terpaksa membuat bayaran sungguhpun kita bukan peminjam utama,” katanya.

Suasana gamat itu berterusan selama beberapa minit apabila wakil rakyat kerajaan dan pembangkang masing-masing menyindir antara satu sama lain sehingga Timbalan Speaker, Nga Kor Ming terpaksa masuk campur dan mengarahkan semua wakil rakyat tidak membuat bising dan menghormati dewan.

Berita Harian X