Selasa, 26 March 2019 | 3:59pm
AHLI Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada sesi persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Hafiz Sohaimi.

'Saya, keluarga sokong kepemimpinan Dr Mahathir' - Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau dan keluarganya akan terus memberi sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) juga perlu memberi sokongan kepada Dr Mahathir dan menyifatkan Perdana Menteri mentadbir negara ketika ini bukan seperti diktator.

“Secara konsisten kita pilih Dr Mahathir dan kita sokong dia sebagai Perdana Menteri. Keluarga dan saya akan beri sokongan kepada kepemimpinan Dr Mahathir,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata dalam konteks hari ini, PH mesti jelas mengenai sokongannya terhadap Dr Mahathir, kerana ia sudah dipersetujui dalam pemuafakatan semua parti gabungan.

“Saya jelaskan hal peringatan supaya semua pihak faham dan setuju serta patuh kepada perjanjian di antara kita.

“Tumpu kepada usaha bantu ekonomi rakyat. Kita mahu gaduh pasal apa. Saya harap dengan penjelasan ini semua faham. Masing-masing ada tugas besar untuk rakyat. Kenapa sibuk soal-soal ini,” katanya.

Ditanya reaksi Dr Mahathir mengenai prestasi anggota Kabinet dan kerajaan, Anwar yang juga Ketua Umum PH berkata tumpuan kini adalah melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

“Jawapan Dr Mahathir lebih matang. Dia tumpu kepada perkara yang lebih asas. Lebih kepada prestasi kerajaan dan pimpinan.

“Hal ini kita ada sentuh pada ‘reatreat’ Pakatan Harapan baru-baru ini supaya tumpu terutama menteri kepada tugas masing-masing.

“Kalau dia tidak sanggup kerja dan tumpu perhatian, susah. Teguran Dr Mahathir mesti diambil perhatian berat oleh semua pimpinan,” katanya.

Ditanya isu Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Anwar berkata, ia bukanlah masalah yang besar dan boleh diselesaikan.

“Sepatutnya anggota PAC bincang dengan Dr Mahathir untuk capai kata sepakat. Masalahnya sebab manifesto Pakatan Harapan terlalu jelas dan tidak kabur. Oleh itu kita cari jalan bagaimana kita selesaikan dengan baik dan ini tugas Speaker (Dewan Rakyat) juga,” katanya.

Berita Harian X