Selasa, 26 March 2019 | 1:53pm
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir pada sesi persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Hafiz Sohaimi.

Dr Mahathir tegas, bukan diktator - Abdul Hadi

KUALA LUMPUR: PAS menyanggah label diktator yang diberikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad oleh sesetengah pihak kebelakangan ini.

Sebaliknya, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, apa yang ditonjolkan Dr Mahathir adalah sifat ketegasannya dalam menghadapi masalah pentadbiran negara ketika ini.

“Saya mahu komen mengenai kenyataan Dr Mahathir dikatakan diktator. Itu bukan diktator tapi tegas.

“Sebab dia dipilih dalam pilihan raya dan Pakatan Harapan memilih dia (sebagai Perdana Menteri),” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Abdul Hadi berkata, seseorang pemimpin mesti menampilkan ketegasannya terutama dalam menghadapi masalah.

“Apa yang penting ketegasan dalam menghadapi ahli Kabinet yang lemah. Itu bukan diktator tapi ketegasan.

“Suatu yang perlu kepada pemimpin yang perlu tegas kepada ahli Kabinet yang lemah,” katanya.

Beliau tidak menyatakan secara terperinci pemimpin mana yang dimaksudkan melabelkan diktator kepada Dr Mahathir, namun ia dipercayai berkait kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar di Singapura baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan, ketika wawancara bersama akhbar Singapura, The Straits Times, Nurul Izzah meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH yang gagal menunaikan janji dan gagal menggerakkan agenda reformasi seperti mana sepatutnya.

Nurul Izzah juga berkata beliau sukar untuk bekerja dengan Dr Mahathir, yang dianggapnya bekas diktator.

Sementara itu, Nurul Izzah enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu ketika ditemui hari ini sebaliknya bergegas keluar dewan ke keretanya.

Berita Harian X